Pakatan Harapan nafi wujud parti dominan

Pakatan Harapan nafi wujud parti dominan

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad mendakwa, model kerjasama didominasi satu parti adalah BN dan bukan Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan terdiri daripada tiga parti yang mempunyai dasar dan visi berbeza tetapi wujud banyak persamaan, menangkis dakwaan wujud parti tertentu mendominasi pakatan itu.

“Kerjasama dibina atas persamaan ini dan diterjemahkan berpandukan Perlembagaan Negara. Kami mengutuk dakwaan keji laporan media menyebut: ‘setelah puas menunggang Pas, DAP sekarang menunggang Amanah’,” katanya dalam sidang media Pakatan Harapan di Pejabat Amanah Sungai Besar seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Beliau dipetik berkata, strategi menggambarkan Amanah sebagai tunggangan DAP adalah strategi lapuk yang sebelum ini digunakan terhadap Pas sewaktu berada dalam PR.

“Setelah Pas tidak lagi menggugat BN, ia digunakan pada Amanah pula,” katanya.

Jelasnya, dua PRK yang sedang berlangsung boleh dijadikan bukti bahawa tidak wujud mana-mana parti mendominasi Pakatan Harapan.

“Ia bukti kesediaan tiga parti berbincang, berunding secara terbuka dan jujur,” katanya.

Khalid berkata, Amanah sejak awal ingin bertanding di dua PRK, namun atas persetujuan Pakatan Harapan, usaha berunding dengan Pas dilakukan oleh pimpinan PKR.

“Dalam keadaan ini, Amanah akur keputusan berkenaan. Setelah berusaha sekian lama, terbukti Pas tidak sudi berunding.

“Dengan keputusan dibuat untuk hentikan usaha mendapat persetujuan berunding, pimpinan PKR akur dan Amanah diputuskan wakil Pakatan Harapan,” katanya.

Khalid berkata, dalam menentukan calon, DAP mencadangkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dicalonkan di Sungai Besar dan Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Kuala Kangsar.

“Setelah menilai hujah dikemukakan rakan Pakatan Harapan, maka DAP terima dan akur dengan keputusan meletakkan calon-calon tempatan yang berkaliber.

“Keadaan berbeza pandangan dan berlawanan dengan hujah adalah perkara biasa dalam Pakatan Harapan. Soal dominasi dan tunggang-menunggang bukan budaya Pakatan Harapan tetapi budaya Umno serta BN,” katanya.

 

COMMENTS

Wordpress (0)