Pakatan Harapan, Pas, BN daftar nama calon bertanding hari ini

Pakatan Harapan, Pas, BN daftar nama calon bertanding hari ini

 

 

 

 

 

 

 

Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 di 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) bermula hari ini.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata sebanyak 971 borang pencalonan telah dijual di seluruh Sarawak.

Daripada jumlah itu, sebanyak 443 borang dijual di pejabat SPR di negeri itu, 178 di Zon Sibu, 172 (Zon Miri), 124 (Zon Kuching) dan 54 borang di Zon Sri Aman.

Har ini proses penamaan calon akan berlangsung selama sejam dari  9.00 pagi sehingga 10.00 pagi di 82 pusat penamaan calon bertempat di pejabat-pejabat kerajaan, dewan orang ramai, sekolah, maktab perguruan, perpustakaan, rumah rehat kerajaan serta stadium tertutup.

DAP telah mengumumkan 30 calonnya untuk 30 kerusi, PKR 40 calon dan  Amanah 13 calon manakala Pas 11 calon di PRN Sarawak. 

Majoriti calon-calon parti yang bertanding dikalangan anak tempatan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam merayu semua parti dalam Pakatan Harapan agar tidak bertembung sesama sendiri dalam PRN Sarawak apabila penamaan calon diadakan hari ini.

Kit Siang ketika berucap di Senadin, Miri pada Ahad dipetik berkata, mahu membuat rayuan terakhir agar pertandingan satu lawan satu berlaku antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional (BN) di PRN Sarawak 7 Mei ini.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali membuat seruan terhadap DAP dan mengecam parti itu menekan PKR Sarawak agar tidak meneruskan rancangan mereka untuk bertanding di 40 Dun.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jen membuat seruan sama kepada PKR pula dengan menggesa parti itu mematuhi persetujuan yang telah dicapai pemimpin kedua-dua parti, atau berhadapan dengan calon mereka di Dun Batu Kitang.

Beliau juga mendedahkan perjanjian yang telah ditandatangani Azmin dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berhubung peruntukan kerusi di 13 kawasan.

Menurut perjanjian itu, PKR dikatakan telah bersetuju untuk bertanding di Batu Kitang, Marudi, Layar, Machan dan Belaga, manakala DAP bertanding di Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah, dan Murum serta melepaskan Batu Kitang kepada PKR.

Pilihan raya negeri kali ini turut menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dun berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri ini.

Kerusi-kerusi berkenaan adalah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

Pilihan raya itu diadakan susulan pembubaran Dun Sarawak pada 11 April lalu.

Pada pilihan raya negeri kali ini, terdapat 1.14 juta pemilih berdaftar termasuk 1.11 juta pengundi biasa, layak mengundi pada 7 Mei ini.

Selain pengundi biasa, sejumlah 25,022 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan polis serta pasangan akan turut mengundi pada pengundian awal 3 Mei ini manakala 106 pengundi pos kerana berada di luar negara.

Pada pilihan raya negeri 2011, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi Dun, dengan DAP menguasai 12 kerusi dan kemudian hilang satu kerusi apabila Adun Pujut, Fong Pau Teck dipecat daripada parti itu ekoran perbalahan dalam parti.

PKR memenangi tiga kerusi manakala satu lagi kerusi dimenangi oleh calon Bebas.

TAGS