Malaysia Dateline

Pakatan Harapan Perak konsisten tolak politik kepartian guna agama

Pakatan Harapan (PH) negeri konsisten dalam menolak politik kepartian sempit serta menggunakan sensitiviti agama dan kaum untuk meraih sokongan.

Pengerusi Bersatu Perak merangkap Pengerusi PH negeri Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan pihaknya menolak politik perpecahan oleh parti-parti tententu kerana ia berisiko menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Menurut menteri besar itu, Bersatu dan PH negeri menjunjung titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bahawa perbuatan menyalahgunakan masjid dan surau sebagai pentas politik kepartian perlu disiasat bagi mengekang ia daripada berulang.

“Ini penting bagi memelihara kemaslahatan ummah di Perak, apatah lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini serta Syawal yang bakal menjelang,” katanya dalam satu kenyataan  pada Isnin.

Pada Ahad, kenyataan Pejabat Sultan Perak menyebut, Sultan Nazrin memberi perkenan supaya pengerusi jawatankuasa masjid dan surau yang membenarkan premis mereka digunakan untuk program parti politik, digantung tugas sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.

Baginda menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) agar menyiasat tiga program dan ceramah yang dianjurkan atas nama parti politik di masjid dan surau di negeri antara 21 hingga 24 Mei lalu.

Program berkenaan diadakan di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan; Surau Al-Ittihad Kampung Temiang; serta Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor masing-masing di sini. — BERNAMA