Pakatan Harapan perlu bertindak pro aktif mendepani PRU15

Hakikatnya tidak ada waktu tenang dan senang dalam politik, memandangkan politik itu sendiri merupakan tingkah laku yang dinamik dan tidak titik henti. Pergolakan, pertembungan, pertentangan, pertarungan dan persaingan untuk menguasai kuasa sentiasa terbuka serta tiada had sempadan. ​Politik melibatkan penguasan kelompok ke atas kelompok dan konflik antara individu dengan individu dalam menentukan kekuatan pengaruh.

Realiti inilah sebenarnya yang mencabar wibawa serta kekuatan Pakatan Harapan (PH) dalam mengendalikan pengurusan dan pentadbiran negara. Pihak-pihak yang memusuhi PH, sehingga kini, secara berterusan sedang mencabar keutuhan PH dalam menguruskan isu-isu negara.

​PH telah berdepan dengan pelbagai agitasi politik, khususnya daripada Umno, Pas  dan pihak yang menjadi agen kepada dua parti itu  dalam usaha untuk melemahkan moral para penyokong PH.

​PH cuba digambarkan sebagai tidak cekap dalam mengendalikan pentadbiran negara. Terdapat segolongan pihak yang mengukur kecekapan itu dengan kehendak spesifik mereka sendiri, tanpa melihat pengurusan negara secara makro. Tidak selaras dengan kehendak mereka, maka dikatakan pemimpin PH, tidak cekap dalam mengendalikan kepentingan rakyat.

​Tidak dinafikan tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Pas dan Umno lebih terdorong kepada kekesalan mereka terhadap ketewasan mereka di tangan PH, pada hakikatnya sesuatu yang amat berat untuk mereka terima. Fokus golongan ini adalah untuk secepat mungkin mengambil alih kuasa pemerintahan.

​Tanpa sebab yang konkrit, timbul desakan supaya Parlimen dibubar dan pilihan raya diadakan, seolah-olah yakinnya mereka bahawa dengan pilihan raya itu, mereka akan dapat menguasai tampuk kuasa, namun hakikatnya, membiarkan PH terus berkuasa, bermakna semakin banyak penyalahgunaan kuasa akan dibongkar dan terbongkar.

​Ini menjadi kebimbangan terbesar bagi Umno dan Pas. Apa yang menjadi fokus, terutama Umno adalah untuk membebaskan pemimpin mereka daripada segala pertuduhan di mahkamah,  bagi Umno, pendakwaan ke atas pemimpin mereka adalah dendam kesumat PH (soalnya dendam apa?).

Apa yang digambarkan Tom Wright dan Bradle Hope dalam “A billion dollar whale,” sesuatu yang sukar untuk diterima oleh anggota Umno, walau pun apa yang tertera didalamnya telah terlebih dahulu dibongkar oleh Department of Justice  (DOJ), namun segala apa yang didedahkan, bagi Umno itu semua adalah campur tangan asing, meski pun kemudiannya Peguam Negara telah dipecat, kerana dikatakan telah menyediakan kertas pertuduhan terhadap pemimpin yang dikaitkan dalam skandal sebagaimana pendedahan dalam “A billion dollar whale”.

​Keterlibatan Pas dalam menyambung hayat Umno  dengan mewujudkan Muafakat Nasional, menjadi petunjuk penting kepada wujudnya adu domba dalam masyarakat sebagai mekanisme untuk mencabar wibawa PH, sebagai kerajaan. Umno dengan paksi ketuanan Melayunya dan Pas dengan dakwaan perjuangan Islamnya, sehingga meletakan Islam Pas itulah sebagai Islam yang benar, selain daripadanya adalah salah, hakikatnya telah menimbulkan kekeliruan yang amat besar dalam masyarakat sehingga terdapat segolongan pihak yang mempertikaikan keislaman dan kemelayuan PH.

​Umno dan Pas  masih kuat cengkaman amalan budaya politik  era 50 an dan 60 an, aliran politik terkebelakang sehingga menafikan hakikat geopolitik dan realiti demografi Malaysia, serta membina persepsi Islam dalam konteks kedangkalan fiqh al-mizan sebagaimana dihuraikan oleh Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi. Namun  bagi Pas orang lain adalah buta al-quran, hanya Pas sahaja yang celik quran dan kerana Pas celik al-Quranlah, maka Pas boleh sahaja mempertahan serta membela pihak yang merosakkan institusi negara, seumpama kes IMDB, Tabung Haji dan juga Felda. Kerana celik al-Quranlah, Pas boleh membiarkan para pemimpinnya menggunakan media sosial untuk menyebarkan unsur fahaman takfiri serta terpalit dengan pelbagai isu fitnah sehingga didapat bersalah oleh mahkamah. Semuanya kerana Pas itu celik al-Quran.

​Situasi ini menggambarkan bahawa Pas, sememang tidak mempunyai nilai hikmah dalam pengurusan interaksi politik, memandangkan hikmah itu, sebagaimana penegasan Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi adalah berkaitan dengan, “akal, sempurna, terkawal daripada pemikiran yang bebal, bijak meletakkan sesuatu pada tempatnya, menggunakan perkataan yang betul, mempraktikkan amal yang lurus serta menggunakan ilmu yang bermanfaat….”

Apa manfaatnya ilmu itu, sekiranya masih berterusan menghidupkan budaya takfiri dan tafsiq. Realitinya, Islam yang diperjuangkan Pas  adalah Islam versi kedaerahan yang membahayakan Islam itu sendiri.

​Inilah cabaran besar yang sedang dihadapi dan akan dihadapi oleh PH dalam realiti ambang Pilihan Raya Umum 15 (PRU15). Pihak-pihak yang kecewa dengan kejayaan PH dalam PRU 14, akan sentiasa mencipta peluang dan mengambil peluang untuk memusnahkan kredibiliti PH sebagai kerajaan, hakikatnya ini adalah model kebiasaan bagi mana-mana parti yang kalah, apatah lagi bagi pihak yang sebegitu lama berkuasa, seperti Umno.

​Kehilangan kuasa bagi Umno adalah satu malapetaka yang maha dahsyat, segala kepentingan dan peluang untuk membina kekayaan hampir musnah. Keadaan ini akan menjadikan Umno berterusan mencari jalan dan peluang untuk memusnahkan PH, bagi membolehkan Umno  kembali berkuasa. Justeru PH perlu peka dengan ancaman-ancaman yang akan menjadi penyebab kepada berantakannya PH dalam PRU 15. Bentuk-bentuk ancaman yang melingkari PH dalam mendepani PRU15, antaranya adalah;

​Pertama; penguasaan psikologi rakyat oleh Umno berkaitan dengan isu ancaman terhadap ketuanan Melayu, kedua; usaha menganggu gugat kelancaran pentadbiran negara melalui tangan-tangan ghaib yang didalangi oleh Umno, ketiga; penyebaran fahaman takfiri dalam kalangan masyarakat oleh anasir-anasir yang didalangi oleh Pas, keempat; penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat yang diinisiatifkan oleh Umno dan Pas, kelima, manipulasi isu politik, sosial dan ekonomi bagi menggambarkan bahawa PH tidak berintegriti (seumpama kes Nafas, Tabung Haji, dan Icerd).

Nadi penting yang menjadi paksi kepada penguasan politik pilihan raya, adalah undi dalam kalangan masyarakat Melayu, lebih daripada 60 peratus kawasan Parlimen adalah majoriti Melayu, kebanyakan kerusi ini berada di kawasan Felda dan perkampungan Melayu luar bandar. Maka cabaran utama PH adalah mengubah landskap sokongan Melayu daripada antara 20 peratus hingga 30 peratus  kepada paling kurang kepada antara 40 peratus hingga 50 peratus, sebagai situasi selamat untuk PH terus mempertahankan kemenangan pada PRU15.

Namun realitinya, PH juga perlu mempertahankan pola pengundian dalam kalangan masyarakat bukan Melayu, sebagai aset untuk menjamin kemenangan PRU15, dikatakan antara 70 peratus  hingga 80 peratus pengundi bukan Melayu  telah memberikan undi kepada PH dalam PRU14. Di sini pentingnya PH merangka strategi tepat untuk mengenal pasti isu-isu utama yang boleh dijadikan sandaran untuk mengekal, mempertingkat serta menambah peratusan undi dalam kalangan pengundi bukan Melayu, kegagalan berbuat demikian bermakna PH berdepan dengan laluan yang sukar untuk berdepan dengan Umno-Pas dalam PRU 15, Umno-Pasdengan sentimen agama dan Melayunya, berpeluang besar untuk menguasai sokongan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Petunjuk ini agak jelas dengan mengambil kira suasana yang berlaku  dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih (2 Mac 2019), PRK Rantau (13 April 2019) dan paling nyata, menonjol dalam PRK Tanjong Piai (16 November 2019) memperlihatkan PH juga tidak lagi boleh bergantung harap kepada pengundi-pengundi Cina dan India.

Berdasarkan keadaan pengundi Melayu yang semakin hilang kepercayaan terhadap PH serta pengundi Cina dan India yang kelihatanya tidak lagi kuat sokongannya terhadap PH, maka PH perlu lebih kreatif dan inovatif dalam menggerakkan jentera parti, khususnya membentuk sinergi bersama parti-parti kompenan untuk lebih berfokus dalam mempengaruhi pemikiran rakyat bawahan bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada perubahan dan pembaharuan yang dibuat oleh PH berkait dengan realiti sosio ekonomi rakyat.

PH perlu bertindak secara pro aktif untuk membina situasi bagi mengambarkan bahawa hakikatnya kehadiran PH di tengah-tengah masyarakat sememang dirasai dan mempunyai impak dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat terhadap realiti kewujudan PH, bukan sahaja sebagai parti yang memerintah, sebaliknya juga sebagai parti yang merasai akan denyut nadi kehidupan rakyat, seharusnya para pendokong PH perlu menginsafi akan pesanan Joseph Stiglitz, “we need to burry our arrogance…”

Dalam hal ini, bukan sahaja jentera parti perlu diaktifkan secara serius, sebaliknya juga PH perlu mewujudkan lebih banyak agen-agen masyarakat, khususnya dalam kalangan komuniti setempat sebagai wadah untuk menggembleng sikap, pemikiran serta “world view” masyarakat terhadap PH, terutamanya berkait dengan usaha-usaha yang telah dilakukan bagi menambah baik kehidupan rakyat, program-program pembangunan rakyat serta dasar kebajikan yang telah dilakukan oleh PH untuk rakyat, supaya tidak dikaburi dengan manipulasi yang dilakukan oleh pembangkang, khususnya Umno-Pas.

Institusi-institusi kerajaan sedia ada nampaknya tidak begitu berfungsi dengan berkesan dalam menjual idea-idea pembaharuan dan perubahan yang telah dilakukan oleh kerajaan, bahkan terdapat dalam kalangan institusi ini yang masih menjadi penyokong kuat dan berkempen untuk memenangkan UMNO, fenomena ini agak ketara sewaktu berlangsungnya PRK Rantau yang lalu.

​Usaha untuk mendekati politik dalam kalangan masyarakat Melayu, tentunya mempunyai kesukaran memandangkan tingkah laku psikologi Melayu yang bersifat emosional dan kuatnya mencengkam perangai “latah” dan “amuk”, dua feel perangai yang amat sebati dengan jiwa Melayu. Perangai “latah” dan “amuk” ini telah digambarkan dengan jelas oleh Frank A. Swettenham. Perangai  latah dan amuk inilah juga yang disebatikan dalam budaya politik Melayu.

Sifat “latah” dan “amuk” ini juga telah dikritik oleh Zaaba, dua sifat ini sahaja sudah cukup menggambarkan bahawa masyarakat Melayu bukanlah masyarakat yang mampu berfikir secara kreatif, kritikal dan praktikal berdasarkan nilai keilmuan, jelasnya masyarakat Melayu lebih cenderung kepada pemikiran ikut-ikutan, bukannya berdasarkan analisis serta pemikiran pendalaman.

Keadaan inilah yang memberi cabaran kepada PH untuk mengurus politik dalam kalangan masyarakat Melayu, masyarakat yang tidak diasaskan kepada kepentingan  kebenaran maklumat sebaliknya lebih terdorong dengan sesuatu perkhabaran yang diterima, sudah dianggap sahih. Perangai masyarakat Melayu itu lebih bersifat “tibaiyyun” daripada “tabayyun”. Keadaan ini menyebabkan racun pemikiran begitu mudah menular serta begitu senang hanyut dalam “air tuba”. Pemikiran yang beku dan bersifat “tukang angguk” dan” budaya tadah muka”, sudah menjadi sinonim dengan tingkah laku sosial Melayu.

Ramai dalam kalangan masayarakat melayu begitu berminat dengan ceramah agama di surau atau masjid, namun bukannya bersifat kritis dalam menerima apa yang disampaikan oleh “tukang” penceramah, mereka hanya menadah muka dan gelak ketawa dengan penyampaian penceramah yang lebih banyak berkasi jenaka seronok, daripada menyampaikan intipati ilmu agama, menyebabkan mereka ini begitu mudah dieksploit oleh para penmceramah agama untuk kepentingan politik keagamaan mundur.

Inilah realiti cabaran yang akan dan sedang dihadapi oleh PH berhubung dengan usaha untuk meluaskan pengaruh politik dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat melayu. Berdasarkan hakikat ini, Umno-Pas sememangnya telah sedia menakluki pemikiran politik Melayu berpaksikan sentimen perkauman bangsa dan segmentarian Islam.

Bagi  masyarakat melayu, kefahaman mudah mereka adalah untuk “ke syurga, bukan ke neraka”, maka politik bagi mereka adalah politik yang membawa ke syurga, politik syurga itu adalah bersama Pas, kerana Pas adalah Islam, fahaman yang sedia menjalar semenjak berdekad lamanya, hari ini ia semakin kukuh menjalar dan  menjajah pemikiran masyarakat Melayu, khususnya di kawasan-kawasan luar Bandar. Racun yang telah sedia dituang oleh PAS yang berpusat dikebanyakan di surau dan di sesetengah masjid.

Keadaan ini tentunya memerlukan PH lebih bersifat pro aktif untuk memecahkan penyakit kronik masyarakat Melayu ini, kegagalan dalam mengambil tindakan strategik berkaitan dengan perkara ini, akan menyebabkan PH berdepan cabaran yang cukup sengit dan perit dalam PRU15. Berdasarkan hakikat ini, PH sewajarnya mempunyai idea, program serta langkah tindakan yang konkrit, bukan hanya bercakap di atas menara, sebaliknya perlu lebih mendasar di kaki menara, bertindak membuang segala bentuk semak samun

*Kolumnis adalah  Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris.