Pakatan Harapan perlu fokus kepimpinan generasi kedua

Pakatan Harapan perlu fokus kepimpinan generasi kedua

Pakatan Harapan perlu memberi fokus kepada pembinaan kepimpinan generasi kedua bagi memastikan kesinambungan perjuangan politik ke arah Malaysia yang lebih baik demikian pandangan  Fareedah Samad, Pengarah Komunikasi Wanita Amanah Nasional (Awan). 

Pakatan Harapan perlu memberi fokus kepada pembinaan kepimpinan generasi kedua bagi memastikan kesinambungan perjuangan politik ke arah Malaysia yang lebih baik demikian pandangan  Fareedah Samad, Pengarah Komunikasi Wanita Amanah Nasional (Awan).

Fareedah berkata, generasi muda sekarang sudah terlalu kecewa dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) meneruskan negara dan mengharapkan kepimpinan yang lebih memahami masalah rakyat.

“Pakatan Harapan perlu melihat pembinaan kepimpinan generasi kedua sebagai satu perkara yang diberi keutamaan.

“Kita tahu anak muda sekarang sudah terlalu kecewa dengan pencapaian kerajaan dan kita perlu kenal pasti masalah dan bina lebih ramai kepimpinan muda yang lebih memahami masalah dan keperitan hidup rakyat,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Beliau juga berkata, dengan berlansungnya  majlis menandatangani perjanjian Pakatan Harapan antara PKR, DAP dan Amanah hari ini, Pakatan Harapan perlu memberi fokus kepada isu rakyat berbanding perbalahan dalaman yang hanya merugikan ketiga-tiga parti.

“Pakatan Harapan selepas ini perlu lebih fokus kepada isu rakyat berbanding perbalahan dalaman. Kita kena bergerak ke hadapan. Dengan keadaan negara sekarang ini semua maklum pelbagai skandal dan salah laku Umno-BN sendiri berada di tahap pencapaian yang paling lemah.

“Bukan sahaja kita perlu mengambil peluang atas kelemahan Umno tetapi kita perlu membuktikan dan meyakinkan rakyat yang kita bersedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan dan permasalahan rakyat merupakan keutamaan kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Selain itu beliau turut mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan agar melupakan pergeseran lepas dan menyelesaikan segala krisis di meja mesyuarat, bukan melalui media massa.

“Apa-apa krisis yang bakal berlaku harus diselesaikan di meja mesyuarat, bukan di media massa.

“Saya mengharapkan pemimpin Pakatan Harapan dapat menguruskan segala konflik di meja mesyuarat dan meminimumkan kenyataan di media massa mahupun media baharu,” ujarnya.

PKR, DAP dan Amanah akan menandatangani perjanjian politik yang mengandungi tujuh fasal.Ia adalah inisiatif dan komitmen Pakatan Harapan untuk meningkatkan kerjasama dalamannya ke tahap yang lebih tinggi, iaitu mencapai tahap ‘kesatuan politik yang mampan’.

Awan akan menghantar lima wakil daripada wanita muda ke Persidangan Pimpinan Paktan Harapan yang akan diadakan di Dewan Konvensyen Shah Alam bermula hari ini.

TAGS