Pakatan Harapan perlu pergiatkan penerangan atau tersungkur di tangan pengundi

Jentera penerangan merupakan antara unsur terpenting dalam memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dihebahkan kepada rakyat, maksud jentera penerangan, bukan hanya terbatas kepada jentera rasmi yang dikendali dan dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan, dalam erti kata khusus agensi-agensi yang berada dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, namun sebaliknya juga, jentera penerangan berpaksikan masyarakat perlu diaktifkan secara maksimum bagi membolehkan dasar-dasar kerajaan (dokongan Pakatan Harapan) dalam konteks pembaharuan sosial untuk kepentingan rakyat dapat disampaikan secara lebih berkesan serta dapat menembusi lubuk hati rakyat.

Bermakna, usaha  penerangan bukan sahaja digerakkan secara aktif oleh media rasmi kerajaan, sebaliknya juga harus bersifat mendasar dan merakyat. Kebergantungan secara mutlak terhadap jentera penerangan rasmi yang dikendalikan oleh agensi-agensi kerajaan, akan menyebabkan kerajaan berhadapan dengan kesukaran dalam mencairkan maklumat kepada rakyat, memandangkan wujudnya halangan-halangan prosedur serta kerenah birokrasi.

Dalam hal ini, sekiranya Pakatan Harapan (PH) masih terus berkeinginan untuk terus mendominasi Pilihan Raya Umum 15 (PRU15), maka tugas utama PH adalah untuk menguasai “hati dan minda” rakyat, ditangan rakyat terletaknya kata putus akan nasib PH dalam pilihan raya. PH seharusnya mengakui bahawa ketewasan mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, PRK Rantau dan PRK Tanjung Piai dan terkini Kimanis (Warisan) secara tidak langsung disumbangkan oleh kelemahan jentera penerangan PH untuk berhadapan dengan propaganda yang disebarkan oleh UMNO dan PAS khususnya serta Badan-badan Bukan Kerajaan yang bersimpati dengan Pas-Umno.

PH kelihatannya seolah-olah telah gagal dalam membentuk rangkaian perang propaganda, dalam konteks “propaganda lawan propaganda.” Keadaan ini memperlihatkan wujudnya jurang maklumat, data dan  juga fakta yang membolehkan ahli-ahli bawahan PH untuk menangkis dan menyusun gerakan serangan balas terhadap propaganda politik Umno-Pas. Ini bermakna jentera penerangan PH telah gagal untuk membentuk aliran maklumat yang konkrit kepada ahli-ahli parti, situasi ini amat merbahaya terhadap perkembangan pertarungan ideologi dalam usaha untuk mempengaruhi pengundi dalam PRK 15.

Peter Drucker menegaskan bahawa maklumat (pengetahuan) itu adalah kuasa, kuasa yang berkeupayaan mengawal seluruh sistem pemikiran manusia. Selain daripada itu, Adrian Wooldridge menegaskan bahawa maklumat menjadi pemacu kepada kewujudan jentera berfikir. Realiti ini memperlihatkan bahawa pensturukturan maklumat secara terancang, bertindak menyebarkan maklumat dengan berkesan merupakan aset yang paling penting kepada anggota-anggota parti PH dalam berhadapan dengan dakyah politik palsu yang disebarkan oleh Umno-Pas, khususnya sepanjang yang berkaitan dengan isu-isu sosio ekonomi.

Situasi ini agak jelas, apabila pihak kerajaan melancarkan e-tunai, maka terdapat pihak dalam kalangan Umno-Pas telah bergerak menyebarkan propaganda bahawa tujuan disebalik pemberian RM30.00 e-tunai, sebagai satu helah untuk membolehkan pihak kerajaan mengeksploitasi data peribadi rakyat atas kepentingan politik pilihan raya, satu dakwaan yang cukup menggambar kemuflisan daya fikir. Berdasarkan hakikat ini, para penyokong PH amnya dan anggota-anggota parti perlu lebih berilmu dan mempunyai maklumat yang tepat untuk melancar serangan balas terhadap penyelewengan pemikiran yang dicetuskan oleh para penyokong minda terasing anggota-anggota Umno-Pas.

Apa yang lebih penting dalam konteks ini, PH perlu menggemblengkan secara menyeluruh  jentera parti-parti komponen PH, agar lebih kreatif  dan aktif dalam melaksanakan penerangan kepada rakyat berhubung dengan usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dilakukan oleh kerajaan untuk mewujudkan kelestarian sosial dalam kalangan rakyat, khususnya mempertingkatkan kebajikan yang mendasar kepada kepentingan kehidupan rakyat. Berhubung dengan pelaksanaan penerangan ini, anggota-anggota PH, sewajarnya bertindak di atas kapasiti pasukan PH, bukan begerak di atas nama parti secara individu.

Anggota-anggota PH harus memahami dengan jelas akan landskap politik, khususnya berhubung dengan agenda perang saraf yang disebarkan oleh Umno-Pas, fokus utama adalah memutuskan hubungan di antara rakyat dengan Umno-Pas, maka adalah merupakan satu keperluan untuk anggota-anggota PH serta kepimpinan PH untuk mempergiatkan mekanisme penerangan kepada rakyat, agar betul-betul dapat mengikat pemikiran rakyat dengan ideologi perjuangan PH, khususnya dalam kontek melaksanakan pembaharuan ekonomi, sosial, perundangan dan tadbir urus.

Usaha untuk memutus hubungan rakyat dengan Umno-Pas adalah penting, memandangkan kedua-dua parti ini, dalam setiap tindak tanduk politik telah banyak menimbukan kekeliruan dalam aspek kestabilan sosial, secara aktif telah menyebarkan dakyah anti sosial, berkait dengan interaksi politik dan isu-isu politik, begitu ghairah memperalatkan Islam dan Melayu bagi menarik sokongan masyarakat Melayu.

PAS telah menimbulkan kekeliruan yang begitu kronik dalam konteks pentafsiran Islam, khususnya dalam hal yang berkaitan dengan ajaran Islam dan hubungan sosial dalam Islam. Bagi tujuan untuk menghalalkan tingkah laku politik, PAS akan berselindung disebalik perbuatan Rasulullah saw, contohnya dalan konteks untuk menghalalkan serta merasionalkan pembelian 14 bauah Mercedes-Benz, maka dikaitkan dengan Unta Qashwa Rasulullah saw, kononnya keperluan untuk berdakwah. Itulah Pas, baginya apa yang dilakukan adalah semuanya betul. Inilah mentaliti “kejang” yang seharusnya dipisahkan daripada masyarakat.

Agenda pembaharuan ekonomi, sosial, perundangan dan urus tadbir harus dijelaskan kepada rakyat secara lebih praktikal, memandangkan perkara ini melibatkan aspek pemikiran yang abstrak yang sukar untuk difahami dan diterima rakyat. Ini bermakna jentera penerangan PH perlu lebih terlibat secara langsung  dengan golongan rakyat bawahan, perlu hidup dan bernafas dalam dunia kehidupan rakyat marhaen.

Adalah jelas untuk menguasai medan perang, menakluk musuh, sebagaimana ditegaskan Martina Sprague, fokusnya adalah menguasai realiti moral, kestabilan emosi dan keyakinan, unsur-unsur ini amat penting bagi memperlihatkan bahawa PH mempunyai kegagahan serta kekuatan daya tanding, situasi ini tentunya akan membantu kepada terbinanya kestabilan mental dalam kalangan rakyat.

Pada masa yang sama PH harus berusaha membina kepercayaan terhadap kewibawaan serta integriti tingkah laku pimpinan PH dalam kalangan rakyat. Terutamanya  berkaitan dengan dasar-dasar yang diperkenalkan kerajaan.

Dalam hal ini tugas jentera penerangan perlu distruktur secara lebih mekanik dan berfokus kepada “bahasa” rakyat, bermakna PH perlu mempunyai pengkalan penerangan yang kuat pada peringkat akar umbi, berdasarkan setiap segmen kelompok rakyat. Dimensi lain, jentera penerangan harus berfungsi pada setiap kumpulan masyarakat secara bersasar dan berfokus, bukannya dilakukan, digerak dan dilontar secara umum. Bermakna, anggota-anggota PH perlu lebih aktif untuk berinteraksi dengan komuniti dalam pelbagai kumpulan latar belakang sosio ekonomi.

Kelemahan dalam rangkaian penerangan inilah yang menjadi punca kepada wujudnya jurang komunikasi di antara rakyat dengan kerajaan, mengakibatkan segala bentuk perubahan serta penyediaan infrastruktur kebajikan rakyat telah gagal disampaikan kepada rakyat bawahan secara bermakna, kesannya kerajaan telah kehilangan wibawa di mata rakyat, mengakibatkan kepercayaan rakyat terhadap kemampuan, kesungguhan serta keupayaan kerajaan dalam memperbaiki status sosial kehidupan rakyat telah hilang dan hampir lupus.

Persepsi dan pandangan negatif rakyat terhadap kerajaan semakin tersebar dan membesar, meskipun kerajaan telah melaksanakan pelbagai skim kebajikan kepada rakyat, khususnya berkaitan dengan pelaksanaan kandungan manifesto PH, walau pun dikatakan 60 peratus daripada janji manifesto telah ditunaikan, namun rakyat masih merasakan kesungguhan kerajaan dalam mempertingkatkan status sosio ekonomi rakyat masih belum membekas pada minda rakyat. Keadaan ini memperlihatkan dengan jelas akan kegagalan jentera penerangan PH dalam menyebarkan maklumat tepat kepada rakyat. Sebaliknya, rakyat lebih terkesan dengan propaganda dan hasutan yang disebarkan oleh Umno-Pas.

Rakyat umum, khususnya kumpulan dalam kalangan masyarakat bawahan agak ketinggalan, terpinggir berhubung dengan maklumat berkaitan  dengan apa yang dilaksana dan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan. Keadaan ini menunjukkan bahawa terdapat unsur jurang maklumat melebar antara kerajaan dengan rakyat, situasi ini menggambarkan selain daripada kegagalan pihak kerajaan berkomunikasi langsung dengan rakyat, juga menunjukkan bahawa parti-parti komponen yang mendokong PH, tidak mempunyai mekanisme yang mantap dalam membantu menyalurkan maklumat berkaitan dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat.

Contoh yang paling jelas berkaitan dengan kedudukan tol lebuh raya, isu yang sering ditimbulkan oleh pembangkang Umno-Pas, bahawa kerajaan tidak menunaikan janji berhubung dengan penghapusan bayaran kadar tol (walhal dalam manifesto PH, tidak ada perkara yang disebutkan untuk menghapuskan tol). Namun kerajaan telah mengambil beberapa langkah drastik untuk menangani permasalahan bayaran kadar tol selaras dengan kehendak manifesto PH, antaranya membekukan kadar kenaikan tol, tanpa perlu membayar pampasan kepada pemegang konsesi, namun perkara ini telah tidak disebarkan secara menyeluruh kepada rakyat, kesannya tindakan ini tidak membekas di hati dan minda rakyat.

Begitu juga keadaannya, apabila kerajaan mengumumkan keputusan untuk tidak menjual Lebuh Raya Plus, iaitu kekal berada dibawah pengurusan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta menurunkan kadar tol kepada 18 peratus, sudah sepatutnya menjadi antara fakta penting untuk dihebahkan kepada umum, bagi menjawab dakyah berterusan pembangkang yang mempersenda kerajaan berkaitan dengan kedudukan kadar tol, ini membuktikan bahawa PH tetap melindungi pelaburan straegik negara, isu yang selama ini dihebahkan oleh Umno-Pas yang mendakwa PH telah bertindak menjual pelaburan strategik negara kepada pihak swasta. Anggota-anggota PH, sepatutnya mengambil inisiatif untuk memperjelaskan kepada rakyat secara bersungguh sehingga benar-benar difahami dan diterima rakyat.

Parti-partti komponen PH, ternyata gagal untuk menyelaras jentera penerangan, bagi bergerak untuk berhadapan dengan rakyat, seoalah-olah masing-masing terikat dengan agenda kepentingan tersendiri. Terdapat pihak yang begitu lantang dalam memperkatakan serta memperjuangkan kepentingan untuk penggantian Perdana Menteri (PM), sedangkan agenda ini bukan merupakan agenda rakyat, lebih kepada agenda pribadi.

Penggantian PM (atau sebutlah apa pun istilahnya) bukan merupakan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi negara. Isu ini telah menyebabkan sesetengah pihak menjadi leka untuk bergerak dalam kalangan rakyat, bagi memperjelaskan usaha-usaha konkrit yang dilakukan kerajaan, berhubung dengan agenda perubahan untuk membela nasib rakyat. Apa yang disibukkan adalah pelbagai forum untuk membincangkan tarikh peralihan kuasa.

Usaha-usaha yang telah diperkenalkan kerajaan untuk kepentingan rakyat, seumpama; Bantuan Sara Hidup (BSH), Rebat Bil Elektrik RM40 Percuma, Skim Perlindungan Nasional B40 (MySalam), Dana Rumah Mampu Milik BNM 2020, Subsidi Minyak, Pas Bulanan Pengangkutan Awam RapidKL, I-Suri KWSP, Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKaB40) dan juga insentif tunai, merupakan antara produk yang telah diwujudkan oleh kerajaan (PH) untuk kesejahteraan rakyat.

Namun disebabkan kegagalan anggota-anggota PH untuk mengeksploitasi usaha “baik” kerajaan ini secara strategik, melalui jentera penerangan yang sistematik, cekap dan berkesan menyebabkan usaha-usaha ini tidak begitu berbekas di hati rakyat serta tidak mengikat emosi rakyat terhadap komitmen kerajaan, menyebabkan rakyat tetap “jauh hati” terhadap kerajaan. Bahkan  terdapat pula dakwaan dalam kalangan rakyat yang berpandangan bahawa segala bentuk produk tersebut adalah kesinambungan daripada apa yang telah dilakukan oleh Barisan  Nasiona sebelum ini, dalam ertikata lain sebagai produk bekas tinggal Barisan Nasional. PH hanya bersifat salinan karbon. Tidak ada keaslian.

Realitinya rakyat umumnya tidak mempunyai tahap kepedulian yang tinggi terhadap isu yang berkaitan dengan penggantian PM, apa yang dipentingkan rakyat adalah kepedulian terhadap kehidupan mereka, bagaimana pun kepedulian yang telah dilakukan oleh kerajaan telah tidak disedari mereka, berpunca daripada kegagalan dalam memperhebahkannya secara berkesan serta beroreintasikan sasaran dalam komuniti. Hasrat rakyat adalah peningkatan taraf sosio kehidupan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan serta mendasar.

Jika pun wujud penggantian PM, bukan bermakna wujudnya lampu Aladdin yang dapat mengubah keseluruhan realiti hidup rakyat secara drastik, sebaliknya berkemungkinan akan berlaku kerencatan, kerana tidak dapat dielakkan akan berlaku pertembungan  kepentingan kelompok. Jadinya dalam hal ini, PH perlu pergiatkan usaha penerangan secara berganda dengan menggerakkan seluruh jentera dan mekanisma gerak kerja merentasi kepentingan parti-parti komponen, bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan jelas berkaitan dengan usaha-usaha konkrit yang dilakukan kerajaan atau tersungkur di tangan pengundi.

 

*Kolumnis adalah Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris