Malaysia Dateline

Pakatan Harapan perlu segera bincang elak darurat

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini mengajak seluruh komponen Pakatan Harapan (PH) untuk segera membincangkan kemungkinan pengisytiharan darurat dibuat.

Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Pulai berkenaan mendesak agar perbincangan tersebut perlu dilakukan dalam kadar segera bagi mendapatkan pandangan dari semua parti komponen.

“Merujuk kepada kemungkinan pengisytiharan darurat, saya ingin mencadangkan agar semua parti dalam PH serta rakan-rakan lain dalam pembangkang untuk berbincang mengenai perkara ini.

“Kita seharusnya berbincang dengan kadar segera agar kita boleh mengemukakan pelbagai pandangan kostruktif untuk menyelamatkan negara dari pengisytiharan darurat,” katanya.

Beliau berpendapat PH pasti boleh berperanan dalam mengemukakan cadangan yang bersesuaian kepada pihak kerajaan agar pelaksanaam darurat dapat dielakkan.

“Ingin saya tekankan di sini bahawa pengisytiharan darurat ini harus dielakkan kerana kesannya terlalu besar kepada pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial dan politik,” katanya.

Kelmarin, Kabinet memutuskan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meminta persetujuan pengisytiharaan darurat di negara ini.