Pakatan Harapan punya kekuatannya sendiri, kata Nik Omar

Pakatan Harapan punya kekuatannya sendiri, kata Nik Omar

Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, selepas selesai penamaan calon, beliau kini memasuki satu fasa baru, yang mana jadualnya penuh bermula dari Subuh hingga ke malam sama ada solat berjemaah, ziarah, kuliah, ceramah kelompok, ziarah pimpinan kawasan.

“Walaupun kadang-kadang berasa letih, tetapi rasa juga satu kepuasan kerana berdepan dengan rakyat kerana kita ingin tunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah dan jika ditakdirkan sebagai seorang wakil rakyat,” ujarnya yang menjadi calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dun Chempaka.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam slot Bicara IKON Harapan baru-baru ini.

Sebelumnya, beliau merasakan tanggungjawab ini sebagai bebanan yang berat.

“Apatah lagi apabila kita tengok kehidupan almarhum Ayahanda Tok Guru. Beliau laksanakan tugasnya sebagai seorang orang alim, menyampaikan ilmu, berjumpa dengan rakyat kerana beliau sebagai seorang wakil rakyat dan sebagai seorang Alim Rabbani, daie yang ingin menyebarkan Islam untuk rahmat ke seluruh alam,” kata beliau.

Berikutan itulah Ustaz Nik Omar pada awalnya berasa keberatan untuk merima.

“Tetapi semuanya adalah takdir daripada Allah selain daripada pandangan pelbagai pihak. Saya juga tidak putus berdoa kepada Allah memberikan keputusan yang baik,” tambahnya.

Tambah beliau lagi, Insya-Allah, atas dasar rasa tanggungjawab dan ingin memberi sumbangan bakti kepada rakyat di Dun Chempaka yang semua tahu sebelum ini adalah tempat almarhum Ayahanda Tok Guru.

“Jadi apabila tiada keluarga yang bertanding di Pengkalan Chepa, Khususnya di Chempaka, itu juga adalah salah satu faktor juga untuk menyambung legasi Ayahanda Tok Guru,” jelasnya.

Ditanya mengapa beliau memilih PH, ia lebih kepada asas pendekatan politik, khususnya di Malaysia yang akan mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jadi jika ikuti perkembangan politik seluruh Malaysia, saya rasa hampir semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum secara umumnya ingin membuat perubahan kerana suasana kehidupan yang begitu tertekan,” tambahnya.

Begitu lama rakyat Malaysia menurutnya, memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah tetapi tahap kehidupan rakyat semakin lama semakin tertekan.

“Saya merasakan inilah masanya yang paling sesuai untuk kita buat perubahan dan setiap rakyat mestilah berani membuat perubahan itu,” serunya.

Dalam perkembangan berkaitan Nik Omar berkata, walaupun kerajaan BN semakin lemah, tetapi ia masih ada kekuatan tersendiri.

“Justeru untuk berdepan dengan kekuatan tersebut, kita perlu satu gabungan yang kuat. Berdasarkan kepada pemerhatian saya, Tok Guru memilih untuk bersama dengan gabungan tertentu untuk mengukuhkan lagi usaha ke arah memenangi pilihan raya.

“Apabila Tok Guru dah tiada, saya rasa cara yang terbaik adalah bersama dengan PH, kerana ia menggabungkan empat parti utama,” katanya.

Tambahnya lagi, masing-masing ada kekuatan yang tersendiri.

“Sama ada dalam kalangan AMANAH, dengan pimpinan-pimpinan yang masyhur dengan aktivis, dan bersamanya ulama-ulama, yang kita tahu ia membawa Rahmatal Lil Alamin.”

“Begitu juga PKR yang mempunyai pimpinan yang masyhur, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga serta pimpinan yang lain.

“Dan daripada Parti Bersatu, kita lihat kekuatannya yang tersendiri yang ada pada Tun Dr Mahathir, Tan Sri Mahyuddin Yasin dan pimpinan-pimpinan yang lain serta kerjasama dengan Parti DAP yang bersetuju untuk sama-sama membangunkan Malaysia dengan penuh amanah dan berintegriti,” kata beliau.

Jelasnya, dari hari ke hari, semasa ke masa rakyat seolah-olah menunggu hari mengundi untuk menyatakan sokongan mereka kepada PH.