Pakatan Harapan sedia tangani kebimbangan orang Melayu

Pakatan Harapan sedia tangani kebimbangan orang Melayu

Dasar-dasar bersama Pakatan Harapan yang merangkumi muafakat PKR, DAP dan Amanah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama Persekutuan, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu mampu mengatasi kebimbangan orang Melayu terhadap masa depan mereka, kata para pemimpin pakatan politik itu.

Rafizi menjawab soalan pemberita pada sidang media Pakatan Harapan di ibu pejabat DAP di Petaling Jaya. Foto Roketkini

Dasar-dasar bersama Pakatan Harapan yang merangkumi muafakat PKR, DAP dan Amanah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama Persekutuan, melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu mampu mengatasi kebimbangan orang Melayu terhadap masa depan mereka, kata para pemimpin pakatan politik itu.

“Kita akan bangkitkan isu orang Melayu secara jelas, kreatif dan objektif terutama dalam perkara yang menjadi kebimbangan Melayu yang sering dimainkan Umno,” kata Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.

Bagaimanapun tegas beliau, tumpuan terhadap isu orang Melayu bukan bermaksud meminggirkan isu membabitkan kaum lain.

“Cara komunikasi dengan pengundi Melayu perlu penambahbaikan. Ia bukan pinggirkan kaum lain tetapi apabila kita bentang dasar bersama nanti, rakyat akan lihat kita ada penyelesaian menyeluruh dalam isu semua kaum,” katanya kepada wakil media.

Pada sidang media bersama pimpinan Pakatan Harapan di ibu pejabat DAP, semalam, beliau menjelaskan tiga perkara berhubung orang Melayu yang akan diberikan tumpuan.

Pertama, ujarnya adalah merangka program untuk menangani isu kebajikan, sosio-ekonomi dan politik masyarakat Melayu tanpa mengabai kepentingan kaum lain.

Perkara kedua, tambah beliau adalah isu peluang pekerjaan dan dasar guna tenaga serta modal insan manakala perkara ketiga adalah mengenai sistem pendidikan yang menyeluruh, adil dan mampu menjadikan Malaysia yang berbeza untuk melahirkan masyarakat berkualiti dan bertanggungjawab.

Pada sidang media yang sama, Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pembentukan dasar bersama yang diasaskan daripada pengukuhan dasar bersama Pakatan Rakyat itu akan diumumkan secara berperingkat.

“Kali ini ada kelainan kerana kita perlu lebih radikal dan fokus isu utama yang sangat penting untuk rakyat, ia akan diumumkan secara berperingkat sebelum Konvensyen Pakatan Harapan 16 Julai ini,” katanya.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir pula menyifatkan persetujuan dasar bersama sebagai era baru pakatan pembangkang.

“Kali ini kita nak jadikan konsensus dicapai secara murni dan jelas. Ketiga-tiga parti tak lagi dalam mod setuju untuk tidak bersetuju,” katanya.

Beliau berkata, BN hanya mampu memanipulasi isu perkauman dan agama tetapi ia sekaligus memperkecil potensi rakyat untuk berubah khususnya generasi muda.

Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad pula menyatakan konteks radikal yang dimaksudkan tidak terkeluar dari Perlembagaan Malaysia.

Hadir sama pada sidang media itu Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke, Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, Penolong Setiausaha Organisasi Amanah, Suhaizan Kaiat dan beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan.

TAGS