Pakatan Harapan sudah ada calon PM, kata Azmin

Pakatan Harapan sudah ada calon PM, kata Azmin

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan gabungan Pakatan Harapan sudah memuktamadkan calon Perdana Menteri bagi pihak pembangkang.

Menteri Besar Selangor itu berkata, individu yang masih tidak dinamakan oleh Pakatan Harapan itu akan diumumkan dalam masa terdekat bagi persiapan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kelak.

“Kami memang ada calon untuk perdana menteri.Kami akan umumkan pada masa yang sesuai,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Karnival Peduli Rakyat semalam seperti dilaporkan.

Isu mengenai calon PM bagi pembangkang kian hangat diperkatakan ramai pihak ketika bahang PRU-14 makin terasa.

Antaranya bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang secara terbuka mencadangkang agar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu dipujuk untuk menjadi calon perdana menteri sekiranya ingin mempunyai peluang cerah memenangi PRU-14.

Nada itu nyata berbeza dengan kenyataan Mohamed Azmin sehari sebelumnya.

Mohamed Azmin dalam merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di SACC Convention Centre yang diadakan berkata calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan boleh ditentukan kemudian.

Ujar Mohamed Azmin, Pakatan Harapan perlu meraih kejayaan di beberapa negeri terlebih dahulu sebelum memuktamadkan soal calon perdana menteri mereka.

Zaid dalam tulisan di blognya mendesak Pakatan Harapan menamakan Mahathir sebagai calon PM kerana langkah itu akan mendapat sokongan serta undi daripada akar umbi.

Malah menurut Zaid, pemilihan Mahathir sebagai calon PM boleh meleraikan kebimbangan umum bahawa DAP berminat untuk mengambil alih kepimpinan negara.

COMMENTS

Wordpress (0)