Malaysia Dateline

Pakatan Harapan tetap perjuangkan mandat rakyat

Perjuangan tetap diteruskan walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan dalam menuntut hak rakyat di negara ini terjamin dan dihormati.

Setiausaha Agung Democratic Action Party (DAP) Malaysia, Lim Guan Eng berkata, adalah amat menyedihkan apabila hak rakyat untuk memilih sebuah kerajaan selepas menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu dinafikan oleh parti-parti politik yang rakus hendak berkuasa.

Katanya, rakyat telah memilih Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui pentadbiran negara selepas PRU14 lalu, namun kerana kerakusan kuasa daripada parti politik pembangkang yang menggunakan ‘pintu belakang’ untuk menjatuhkan Kerajaan PH telah membuktikan bahawa mereka tidak menghormati kehendak rakyat di negara ini.

“Kerana hanya mahu ‘kemaruk’ kuasa pihak pembangkang akan lakukan apa sahaja demi menjatuhkan sebuah kerajaan yang dibina oleh rakyat.

Suasana Majlis Makan Malam DAP Sarawak di Kuching malam tadi.

“Maka, kini mereka telah berjaya menjatuhkannya menerusi pintu belakang walaupun secara dasarnya ramai rakyat di negara ini menolak dengan cara sebegitu.

“Ibarat aksi tinju, yang kalah KO pada PRU14 tapi boleh menang menjadi juara,” ujar beliau sambil diberi tepukan gemuruh daripada seramai 1,000 orang yang hadir pada Majlis Makan Malam DAP Sarawak di Kuching malam tadi.

Guan Eng menegaskan, beliau yakin bahawa kerajaan yang dibina melalui pintu belakang tidak akan sesekali kekal, malah bakal mencatat sejarah di Malaysia menjadi sebuah kerajaan yang paling singkat kelak.

Ini kerana, katanya berdasarkan sokongan di pihak mereka adalah bukan majoriti dan sebab itu juga Perdana Menteri Ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa menangguh Persidangan Dewan Rakyat yang sepatutnya diadakan 9 Mac ini ditukar ke 18 Mei nanti.

“Kita tunggu dan lihat berapa lama kerajaan ini boleh bertahan tanpa majoriti yang kuat selain gabungan Umno, Pas, GPS, MCA dan MIC itu sendiri bertelagah bagi pembahagian kuota untuk membentuk Menteri Kabinet.

“Bayangkan, belum apa-apa lagi mereka sudah bertelagah pasal pembahagian kuota menteri,” jelas beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan semasa pentadbiran Kerajaan PH lalu.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat di negara ini khususnya di Sarawak untuk bersama-sama menolak kerajaan pintu belakang ini kerana hak mandat telah dicabuli dengan sewenang-wenangnya oleh mereka.

“Marilah kita bersama-sama pertahankan mandat rakyat ini walaupun terpaksa mengharungi halangan dan dugaan yang semakin mencabar ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, Pengerusi Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Abang Halil Abang Naili dan Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Sarawak.