Pakatan Harapan tidak perlu bersikap unilateral, belajar dari DAP

Pakatan Harapan tidak perlu bersikap unilateral, belajar dari DAP

Pakatan Harapan perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku dalam PRU ke-13 lalu.

Pendirian DAP yang pada mulanya berhasrat untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri(PRN) Pulau Pinang lebih awal tidak akan diteruskan. Setelah beberapa lama memberikan ruang spekulasi berlegar Ketua Menterinya Lim Guan Eng(LGE) mengumumkan bahawa niat itu tidak akan diambil.

Walaupun Pakatan Harapan(PH) Pulau Pinang telah mendapat persetujuan dari DAP dan AMANAH, LGE dan DAP tetap menegaskan bahawa mereka perlu membuat keputusan secara kolektif dan sebulat suara. LGE menghormati pandangan pimpinan PKR yang menyatakan mereka tidak bersetuju untuk PRN awal dan mengejut untuk diadakan atas faktor kebimbangan kehilangan kerusi yang dimiliki mereka penggal ini.

Disinilah kekuatan yang perlu dijaga dan ditonjolkan oleh mereka yang mengangkat PH itu sebagai koalisi yang ampuh dan penting selepas ketiadaan Pakatan Rakyat. Maknanya sebarang keputusan antara ketiga-tiga parti DAP, AMANAH dan PKR perlulah mendapat persetujuan bersama antara mereka.

Ramai yang sedar semenjak PH ditubuhkan mereka telah menempuhi beberapa ujian dalam berhadapan pilihanraya. PRN negeri Sarawak pada Mei 2016 yang lalu boleh dilihat dapatan terdekat untuk umum melihat kesepakatan PH. Walau keputusan awal diambil namun diakhirnya ketika tiba hari penamaan calon, pertindihan kerusi tetap berlaku. Akhirnya rakyat dan pencinta keadilan mula keliru dengan tindakan orang politik atasan.

Maka dari situ pelbagai persoalan timbul tentang kesepaduan mereka. Namun PH bernasib baik kerana selepas dari PRN negeri Sarawak menyusul pula 2 pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlaku pada pertengahan Jun 2016 kembali mengeratkan kerjasama ketiga-tiga parti. Tetapi disana sepertinya berlaku secara bermusim dan terpilih.

Mereka juga perlu mengambil iktibar dari apa yang berlaku dalam PRU ke-13 lalu. Bagaimana PAS dan PKR berselisih pada 7 kerusi sedangkan mereka bersama-sama dalam Pakatan Rakyat yang terkubur pada 2015. Lihat apa berlaku di Sungai Aceh, Seberang Takir dan Wilayah Persekutuan Labuan serta 4 tempat lagi. Ini adalah antara kesan bila kita tidak menghormati suara kolektif dalam perbincangan yang kita sendiri hadir dan faham.

Kini cabaran yang sama perlu diambil kisah oleh pemerintahan PH diseluruh negara dan terutamanya di negeri Selangor. Apakah mereka melakukan apa yang dilakukan oleh DAP di Pulau Pinang? Persetujuan mengadakan sebarang perbicangan dengan pihak lain berkenaan pembahagian kerusi juga seharusnya melalui sekretriat PH terlebih dahulu dan bukan melalui jalan atau pintu belakang.

Jika tidak maka sia-sia sahaja apabila kita mewujudkan pakatan dan dalam masa sama kita membuat keputusan secara unilateral. Mewujudkan perbincangan dengan pihak lain dalam situasi kita sedang berada dalam sebuah pakatan dengan pihak lain atas tujuan memikirkan soal jawatan dan kedudukan kita adalah suatu tindakan yang cukup bijak, tetapi untuk dikenang sebagai perbuatan dan nilai yang baik, ianya cukup jauh untuk digapai.