Malaysia Dateline

Pakatan Harapan tidak tertipu di Perak, tegas Khalid

Pakatan Harapan (PH) sama sekali tidak tertipu dengan ‘Langkah Perak’ yang menggulingkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar (MB) pada 4 Disember lalu.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berkata, gabungan tiga parti komponen dalam PH terlebih awal menolak Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu itu.

Bahkan, tegas Khalid, PH juga tidak menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan dari Umno, Datuk Saarani Mohamad untuk mengambil alih jawatan MB Perak.

“PH tertipu di Perak? Kami tidak tertipu kerana sememangnya kami tolak Peja sebagai MB.

“Dan kami tidak juga sokong Saarani yang menggantinya,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu menerusi Twitter sebentar tadi.

Dalam masa sama, Khalid menyifatkan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Umno, Bersatu dan Pas saling menikam seperti terbukti dengan insiden menggulingkan Ahmad Faizal minggu lalu.

Sebaliknya, Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menegaskan PH tetap mantap dan kukuh.

“Yang terjadi adalah adegan tikam menikam antara mereka yang dipamerkan pada semua.

“Khianat mengkhianati budaya mereka,” katanya lagi.