Malaysia Dateline

Pakatan Harapan yakin tawan Kepala Batas

Adalah tidak mustahil untuk Pakatan Harapan menawan kerusi Parlimen Kepala Batas yang didakwa sinonim dengan Umno dan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang akan datang.

Keyakinan ini adalah berdasarkan kepada senario politik kini selepas pelbagai skandal, penyelewengan, salah laku dan urus tadbir yang begitu lemah Umno-BN didedahkan.

Dr Zaidi Zakaria

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Sekretariat PH Parlimen Kepala Batas, Dr Zaidi Zakaria ketika ditemui.

Menurut beliau lagi, setakat ini komitmen antara komponen dalam PH begitu memberansangkan apabila kesemua parti komited untuk menewaskan BN dan sekutunya.

“Terdapat banyak kawasan yang tidak diberi perhatian oleh BN walaupun mereka menguasai kerusi Parlimen Kepala Batas.

“Masih terdapat penduduk dalam Parlimen Kepala Batas yang tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya sehinggakan ada yang terpaksa dibantu oleh kerajaan negeri.

“Kemudahan untuk nelayan khususnya bagi jeti pendaratan ikan di Kuala Muda, Penaga, turut tidak diberi perhatian serius oleh Ahli Parlimen Kepala Batas sehingga kini walaupun ianya boleh dilaksanakan oleh kementerian, ” ujarnya.

Jelas beliau lagi, AMANAH bersama-sama dengan komponen PH turut membantu bagi menyelesaikan isu ketiadaan bekalan air bersih dalam kawasan Parlimen Kepala Batas melibatkan 51 buah rumah sekitar Duun Bertam baru-baru ini.

“Penduduk mengadu mereka tidak pernah menikmati bekalan air bersih walaupun berada dalam kawasan yang diwakili oleh BN begitu lama.

“Pelbagai usaha telah mereka lakukan bagi mendapatkan bekalan air bersih tersebut, namun begitu ia tidak berjaya diatasi oleh BN yang menguasai Parlimen Kepala Batas.

“Akhirnya dengan kesungguhan PH serta kerajaan negeri kesemua penduduk tidak perlu membayar kos pemasangan yang berjumlah RM1500, dan dibantu bagi mendapat kemudahan asas tersebut, ” tegasnya.

Dalam PRU ke 13 yang lalu Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berjaya memperolehi kemenangan dengan sokongan sebanyak 25,128 undi mengalahkan calon Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddeen yang memperolehi sebanyak 20,952 undi.

“Dengan majoriti sebanyak 4,176 undi yang diperolehi oleh BN ketika itu, bukan suatu perkara yang mustahil bagi PH untuk memastikan berlakunya kejutan dalam PRU kali ini.

“Ini ditambah pula dengan kewujudan hubungan intim antara BN dan Pas bagi menentang PH serta menidakkan sokongan dari pengundi bukan Melayu, ” tambahnya lagi.

Petunjuk sempadanan  kawasan Parlimen, Dun dan Daerah Mengundi bagi P41 Kepala Batas, Pulau Pinang.

Dalam PRU yang lalu ketiga-tiga kawasan Dun yang ada dalam Parlimen Kepala Batas, iaitu Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal ditandingi oleh Pas dan PKR menentang BN.

Namun begitu ketiga-tiga kerusi telah dimenangi oleh BN.

Bagi kerusi Dun Penaga, BN berjaya memenangi kerusi tersebut dengan mengalahkan calon Pas ketika itu Rosidi Hussain dengan majoriti 1,662 undi.

Manakala bagi kerusi Dun Bertam pula, BN turut memperolehi kemenangan dengan menewaskan calon PKR denan majoriti 1,642 undi.

Sebaliknya untuk kerusi Dun Pinang Tunggal sekali lagi BN mampu mendapat kejayaan apabila menewaskan calon PKR dengan mendapat majoriti sebanyak 1,587 undi.

“Isu kemiskinan begitu banyak yang telah diselesaikan oleh kerajaan negeri melalui Penyelaras Dun yang telah wujud sejak kerajaan negeri mengambil alih pemerintahan negeri.

“Bagi kawasan Parlimen Kepala Batas kerajaan negeri telah memberi perhatian serius dalam pelbagai permasalahan rakyat yang timbul.

“Ini termasuklah membabitkan isu miskin tegar, orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim, ” katanya.

Dr Zaidi Zakaria (tiga dari kiri) ketika bertemu dengan salah seorang pimpinan masyarakat di Kepala Batas baru-baru ini.

Malah ujarnya lagi, kos sara hidup yang semakin membebankan menyebabkan ramai penduduk kampung amat terkesan apabila terpaksa berbelanja lebih sedangkan pendapatan tidak bertambah.

“Selain dari faktor kemiskinan tersebut, peluang untuk PH lebih terbuka setelah Pas tidak lagi bersama sepertimana sokongan yang mampu mereka perolehi ketika berada dalam Pakatan Rakyat.

“Walaupun 78 peratus pengundi Melayu bagi kawasan Parlimen Kepala Batas akan membuat culaan yang berbeza dalam PRU yang akan datang, kita tidak harus lupa bahawa lebih 20 peratus adalah pengundi bukan Melayu yang mampu memberi sokongan kepada PH.

“Manakala undi kepada Pas adalah undi Melayu yang sebelum ini mendapat sokongan kerana bersama Pakatan Rakyat, tidak mungkin akan mampu direalisasikan sekali lagi dengan jumlah undi yang diperolehi dalam PRU ke 13 yang lalu, ” tegasnya.

Baca: Faktor etnik, calon tempatan diutamakan tandingi parti lawan