Malaysia Dateline

Pakej bantuan ekonomi diumum Muhyiddin abai industri pelancongan

Malaysia mencatatkan pendapatan pelancongan sebanyak RM86.14 bilion pada 2019 iaitu meningkat 2.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion oleh kerajaan merupakan satu kekecewaan sangat besar kepada semua pengusaha pelancongan negara.

Baik pengusaha hotel, ejen pelancongan, peniaga restoran, pembuat kraftangan dan kesemua industri sokongan pelancongan yang lain, mereka sangat bimbang akan masa depan yang gelap tanpa nampak penghujung untuk penyelesaiannya.

Tindakan kerajaan mengenepikan serta mengabaikan industri pelancongan adalah satu kesilapan yang amat besar dan tidak berpandangan jauh.

Tidakkah kerajaan hari ini sedar sektor pelancongan memberi peluang pekerjaan yang amat luas kepada pelbagai sektor ekonomi dan lapisan masyarakat dari pengusaha hotel kepada pembuat kuih dan kraftangan di kampung hingga ke pekerja biasa pengiat pelancongan.

Kesan ‘multiplier effect’ atau kesan ganda pelancongan kepada ekonomi amat tinggi dan boleh merangsangkan ekonomi negara dengan begitu luas dan berkesan memanafaatkan ekonomi serta merangkumi setiap lapisan masyarakat bandar dan desa.

Lupakah kerajaan sektor pelancongan merupakan penyumbang pendapatan negara kedua tertinggi selepas minyak dan gas?

Sikap dangkal tanpa visi pandangan jangka masa panjang kerajaan hari ini akan membuat sektor pelancongan Malaysia terus merudum dan tertinggal walaupun selepas wabak Covid-19 sudah lama tiada nanti.

Walaupun jika sektor pelancongan antarabangsa akan lambat pulih, amat penting sektor pelancongan domestik dipulihkan bersegera. Tindakan lemah kerajaan akan memusnahkan infrastruktur serta goodwill aset pelancongan tempatan yang telah kita bina dengan begitu baik selama ini.

Sebelum PKP kali kedua ini lagi kerajaan sudah menutup pejabat promosi Pelancongan Malaysia di peringkat negeri . Ini sangat tidak bijak dan boleh menjadi pukulan maut kepada usaha promosi pelancongan domestik yang sudah pun lemah dan memerlukan suntikan semangat baru dan bukan tindakan ke belakang yang negatif.

Semasa industri pelancongan lemahlah kerajaan patut meningkatkan lagi usaha promosi serta pemasaran produk pelancongan dan bukan sebaliknya. Menutup pejabat pelancongan negeri-negeri memberi tamparan hebat dengan membantutkan peningkatan industri pelancongan tempatan.

Sebanyak 66,458 permohonan diluluskan untuk program Malaysia My Second Home (MM2H) sejak 2018 hingga November 2020 dengan China mencatat jumlah pemohon tertinggi.

Pembatalan skim ‘Malaysia My Second Home’ juga memberi isyarat yang sangat negatif kepada pelancong serta pelabur industri pelancongan antarabangsa yang berminat kepada Malaysia.

Polisi kerajaan kini yang tidak mesra serta peka terhadap industri pelancongan akan mengakibatkan implikasi negatif jangka masa panjang yang akan menyebabkan hilangnya ratusan ribu peluang pekerjaan dan penutupan lagi banyak hotel dan agensi pelancongan tempatan.

Pengusaha industri kraftangan desa dan tekstil tempatan seperti batik dan songket akan turut terjejas teruk dan mungkin terpaksa gulung tikar.

Kejayaan konsep Malaysia Truly Asia yang telah lama berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa akan musnah dengan kelemahan polisi terkini. Negara negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam yang lebih proaktif dan agresif akan mengambil alih market share – pasaran tradisi Malaysia.

Duta-duta pelancongan berpengalaman Malaysia yang hilang pekerjaan akan berhijrah ke negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang lebih berpandangan progresif dan merugikan negara kita sendiri. Aset sumber manusia pelancongan adalah antara aset paling berharga yang susah untuk diganti.

Peranan utama pihak swasta adalah untuk melabur dalam industri pelancongan dalam bidang hotel, pusat beli belah, khidmat agensi pelancongam serta perkhidmatan yang semuanya melibatkan pelaburan jangka masa panjang yang tinggi.

Pihak kerajaan pula sepatutnya bertanggungjawab memainkan peranan utama aktiviti promosi dan sokongan infrastruktur memberi insentif pelancongan.

Malangnya, pakej rangsangan PERMAI bernilai RM15 bilion amat menghampakan dan negatif terhadap industri pelancongan yang tidak mencerminkan kedudukan status sektor pelancongan sebagai industri kedua tertinggi sumbangan pendapatan negara dengan peluang pekerjaan rakyat yang antara tertinggi dan terluas di Malaysia.

Sektor industri pelancongan negara yang pernah menjadi kebanggaan Malaysia di pentas antarabangsa, kini di tahap kritikal diambang kemusnahan kerana sikap diabaikan oleh kerajaan sendiri.

 

* SENATOR RAJA BAHRIN SHAH juga merupakan mantan Pengerusi Persatuan Pelancongan Terengganu dan bekas Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia – Cawangan Terengganu.