Malaysia Dateline

Pakej Kita Selangor bela kebajikan rakyat hadapi PKP 2.0

Pengumuman khas Pakej Kita Selangor yang diumumkan Datuk Amirudin Shari semalam, menjadikan kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sebagai negeri terawal yang mengambil inisiatif membela kebajikan rakyat.

Ketua Penerangan PH Selangor, Azli Yusof berkata, pengumuman khas tersebut dilihat sebagai langkah yang proaktif mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Azli Yusof

“Pakej Kita Selangor yang komprehensif berjumlah RM73.877 juta ini pasti melegakan banyak pihak merangkumi segenap lapisan masyarakat.

“Ini termasuklah usahawan, peniaga kecil, suri rumah, pelajar, warga tani dan lain-lain yang terjejas secara langsung dengan penguatkuasaan PKP.

“Bahkan, mereka turut terkesan dengan banjir dan cuaca yang tidak menentu sehingga menjejaskan pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu Azli berkata, tinjauan segera pasukannya di lapangan mendapati rakyat Selangor juga mengalu-alukan Pakej Kita Selangor yang bersasar dan berharap ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

“Pakatan Harapan Negeri Selangor yakin bahawa bantuan dan pelaksanaan pakej ini dapat dilakukan dengan saksama dan tepat kepada sasaran sesuai dengan amalan kerajaan PH yang adil, telus, dan amanah,” katanya lagi.