Malaysia Dateline

Pakej Permai: Kerajaan patut jadikan kos ujian saringan Covid-19 mampu milik

Pakej bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) disifatkan sebagai langkah yang tepat namun masih terlalu kecil untuk menampung kehilangan pendapatan yang ditanggung rakyat.

Menerusi kenyataan Sekretariat Senator Pakatan Harapan Plus, mereka menekankan berhubung keputusan kerajaan untuk mengehadkan ujian saringan Covid-19 hanya kepada mereka yang bergejala sahaja.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya mempertingkatkan kapasiti seboleh mungkin dan menjadikan kos ujian lebih mampu milik, malah percuma untuk semua berbanding mengehadkan ujian saringan.

“Ini kemudiannya wajar digandingkan dengan pelantikan lebih ramai penjejak kontak rapat dan petugas baris hadapan supaya kita dapat mengenalpasti kluster baharu dengan cepat dan mengawalnya secara bersasar.

“Sebuah model ‘saring dan jejak’ yang menyeluruh adalah asas kepada usaha membendung penularan Covid-19 tanpa perlu melakukan perintah sekatan,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Aiman Athirah Al Jundi, Liew Chin Tong, Dr Yaakob Sapari, Datuk Marzuki Yahaya, Datuk Theodore Doughlas, Waythaa Morthy Ponnusamy, dan Datuk Donald Peter Mojuntin.

Turut terlibat, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Datuk Husam Musa, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, Manolan Mohamad, Mohd Imran Abdul Hamid, Dr Ahmad Azam Hamzah, Ismail Yusop, dan Lim Hui Ying.

Lain, Nga Hock Cheh, Alan Ling Sie Kiong, Adrian Banie Lasimbang, Kesavadas Achyuthan Nair dan Suresh Singh.

Selain itu, Sekretariat Senator PH Plus juga menyentuh tentang lanjutan subsidi upah dan program Geran Khas Prihatin, termasuk perlindungan di bawah Perkeso bagi pekerja ekonomi gig dan syarat-syarat insuran pekerjaan yang dilonggarkan.

Namun, mereka berpendapat amaun yang terlibat dikhuatiri tidak memberi kesan signifikan walaupun pada individu.

Ini kerana katanya, kebanyakan keluarga dan perniagaan sedang berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan walaupun mereka mampu bertahan setakat ini.

“Simpanan dan rizab tunai mereka sudah habis, maka PKP kali ini mungkin menjadi beban terakhir yang memusnahkan segalanya.

“Rakyat sudah tidak mampu menanggung satu lagi PKP, sama ada dengan atau tanpa pakej bantuan.

“Kerajaan perlu mengambil keputusan yang tuntas untuk melaksanakan sebuah sistem saring dan jejak yang komprehensif dan berkesan, yang akan membolehkan kita mengawal penularan wabak secara bersasar, sehingga majoriti populasi negara ini divaksin; tanpa meranapkan fabrik ekonomi negara,” katanya lagi.