Malaysia Dateline

Pakej PERMAI terlalu kecil tampung kehilangan pendapatan

Senator Pakatan Harapan (PH) Plus berpendapat pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) terlalu kecil untuk menampung kehilangan pendapatan yang berlaku.

Menurut kumpulan 20 senator PH Plus berkenaan, peruntukan PERMAI itu juga terlalu kecil seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang berjumlah RM35 bilion.

“Pendekatan kita sekarang meningkatkan risiko kita ‘terperangkap’ dalam kitaran lockdown sehingga majoriti populasi negara ini divaksin,” kata mereka.

Senator PH Plus juga menggesa kerajaan mengambil keputusan yang tuntas untuk melaksanakan sebuah sistem saring dan jejak yang komprehensif dan berkesan, berbanding perintah sekatan secara am.

“Rakyat Malaysia juga memerlukan sokongan ekonomi yang lebih signifikan. Simpanan mereka sudah habis; PKP kali ini mungkin menjadi beban terakhir yang memusnahkan segalanya,” kata kenyataan bersama itu lagi.