Malaysia Dateline

Pakej Rangsangan Ekonomi, Covid-19 dan penghalalan pakej pintu belakang

Muhyiddin Yassin (MY), dalam kenyataannya sewaktu membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE), menegaskan, “Dan, kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih tetapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini mengambil berat tetang anda.”
Secara tidak langsung MY telah mengakui bahawa kerajaan yang dibentuknya adalah kerajaan yang tidak diasaskan kepada mandat yang diberikan rakyat, sebaliknya kerajaan yang dibentuk hasil daripada pengkhianatan terhadap mandat rakyat, berdasarkan percaturan kuasa di atas kepentingan pribadi, kerajaan yang tidak mempunyai keazaman moral politik. hanya untuk memenuhi selera kuasa.

Hakikatnya begitulah, MY dengan imej penampilannya (yang dikatakan oleh setengah pihak sebagai berinspirasikan rakyat, hanya satu-sutunya Perdana Menteri (PM) yang ucapannya bertitipkan doa dan dikatakan tidak pernah dilakukan PM yang lain sebelumnya – tingginya budi agama MY) berusaha untuk memulihkan imej kerajaan yang diketuainya, meskipun calar balar sifatnya.

MY secara berseni, begitu bersungguh untuk mendapatkan kepercayaan dan simpati serta pengabsaham daripada rakyat, biar pun begitu nyata akan kehodohan dan kemuflisan akal budi dalan kaedah pembentukan kerajaannya, sehingga terpantul akan realiti kemusnahan nilai kemanusiaan setiakawan, realitinya begitulah, politik tidak mengenal setiakawan, sebaliknya lebih menjurus kepada “siapa yang boleh dipijak untuk dijadikan sandaran bagi menguasai kuasa.”

Demikianlah MY bertindak merancang PRE, dalam situasi wujudnya kemelut krisis wabak Covid-19, antara tuntutan peningkatan imej politik dengan imaginasi pembelaan terhadap kesusahan rakyat, menggunakan “ilmunya” bagi memperlihatkan akan wujudnya jiwa hamba “kasihan belas” terhadap rakyat.

MY bermain dengan sentimen serta emosi rakyat, menakluk psikologi rakyat, khususnya jiwa rakyat Melayu yang sentimental, “mudah cair” dengan doa seorang pemimpin;

“Pakej Prihatin ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua. Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.
Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini.”

Maka atas semangat inilah munculnya watak Mak Cik Kiah dalam imaginasi MY. Mak Cik Kiah merupakan watak protoganis dalam skrip MY. Namun apa yang dimaksudkan dengan “bantuan segera,” sesuatu yang kurang jelas, apakah bantuan segera itu seumpama “mee segera” senang dimasak enak dirasa?

Memang pada dasarnya, apa yang dikatakan Pakej Rangsangan Ekonomi tersebut boleh dikatakan (?) memenuhi aspirasi semua pihak, khususnya rakyat yang terkena bahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terutama bagi golongan yang terencat sumber pendapatannya.

Sebagaimana yang dikatakan MY, “Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan tercicir,” apakah benar tiada yang pihak tercicir, maka perlu diperhalusi dan dianalisis dengan teliti.

Sungguhpun demikian, PRE ini telah menimbulkan kritikan terhadap impak ke atas Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), dikatakan rangsangan daripada PRE ini tidak cukup terangsang dalam membangun dan mengembangkan PKS, khususnya selepas berakhirnya PKP.
Meskipun terdapat peruntukan dana tambahan RM4.5 bilion bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana, namun ini dianggap masih tidak mencukupi untuk menggerak aktifkan sektor PKS ini. Terdapat dakwaan oleh Dewan Perniagaan Cina Malaysia (MCCC) bahawa menjelang Mei, banyak daripada PKS ini terpaksa “gulung tikar,” kerana berdepan dengan masalah aliran tunai, akibat langsung daripada PKP.

PKS umumnya membentuk 90% syarikat yang beroperasi di Malaysia, berjumlah hampir 518,996 syarikat dengan pekerja seramai 3 juta orang, menjana sumbangan kewangan RM154 bilion.

Ini bermakna risiko amat tinggi untuk berlakunya pemberhentian pekerja dalam sektor PKS, keadaan ini tentunya mempunyai impak yang besar ke atas perkembangan ekonomi negara dan memperluaskan peratusan kadar penggangguran, sekiranya pihak berkuasa bersikap alpa terhadap berberdayaan hidup PKS. Apa yang dicadangkan oleh pemain sektor PKS ini adalah untuk pihak kerajaan membantu membayar sekurang-kurangnya 25% daripada gaji pekerja.

Namun apa yang nyata PRE ini lebih memperlihatkan akan usaha MY untuk menarik pengbsahan dan sokongan rakyat terhadap kedudukannya sebagai Perdana Menteri, terutama apabila dicanangkan bahawa PRE ini sebagai “inisiatif kerajaan untuk menjaga kepentingan rakyat, prihatin terhadap masalah rakyat, memahami akan penderitaan rakyat,” sehingga sanggup menyediakan RM 250 bilion untuk diagihkan kepada rakyat.

Bagi rakyat marhaen, akan terloncat kekagumannya terhadap keberanian kerajaan memperuntukkan sejumlah wang yang begitu besar untuk rakyat, tentunya tidak dilakukan oleh Pakatan Rakyat (PH) yang sebelum ini dikatakan “tidak sanggup berbelanja untuk rakyat,” “mana ada kerajaan yang sanggup berikan wang kepada rakyat?” Itulah antara komen yang dihamburkan, meski pun MY adalah sebahagian daripada anggota kerajaan PH. Untuk seketika dengan PRE ini, rakyat melihat MY adalah sebagai pejuang rakyat, prihatin terhadap rakyat yang dilanda kesusahan dan musibah, tertekan dengam PKP.

Apa pun keadaannya, perkara pokok bagi MY adalah untuk membina pengabsaham kerajaannya, hakikat ini sememangnya sesuatu yang tidak boleh dinafikan, apa pun hujah yang dilontar untuk menafikannya, namun tetap menjadi satu hakikat, tidak perlu lagi diadakan proses verifikasi atau pun kalibrasi. Juga merupakan satu percubaan MY untuk memulihkan moral daripada stigma “kerajaan pintu belakang.”

Pengakuan MY itu jelas memperlihatkan akan keraguannya sendiri terhadap keabsahan kerajaannya dalam aspek moral politik dan prinsip moral. Apa yang berlaku MY cuba merasionalkan rakyat terhadap kahadiran dirinya, walaupun tidak dipilih tapi “mengambil berat tentang anda.” Membina keyakinan untuk “membeli” sokongan rakyat dengam gaya “cash is king.” Memancing rakyat dalam keadaan rakyat tersepit dalam kesusahan.

Bermakna politik tetap politik, meskipun terdapat pihak yang melaungkan “enough is enough, no more politics,” berselindung disebalik politik wabak, bimbang serangan politik daripada PH, maka dicanangkan “usah berpolitik, cukup-cukuplah berpolitik,” ternyata golongam ini hanya melihat politik dalam konteks “kuasa untuk mereka dan hak mereka,” setelah mereka berkuasa orang lain harus mengiktiraf mereka, walau pun hakiaktnya mereka tidak mengenal erti keperluan untuk mengikraf kemenangan orang lain.

Pemikiran yang sama tidak pula disuarakan sewaktu PH berkerajaan, sebaliknya segala keputusan pentadbiran diisupolitikkan, Tabung Haji (TH), pendidikan, belanjawan dan apabila aset Tabung Haji dipindahkan kepada pengurusan Syarikat Tujuan Khas (SPV), dihebohkan bahawa PH telah menjual aset TH.

Sentimen perkauman dinyalakan dan dibakar, Islam dijadikan pertaruhan, semata-mata untuk menonjolkan bahawa mereka adalah pejuang Islam, bahang takfiri dipanaskan, sehingga menggelegak. Namun hakikatnya Islam tetap kukuh dan berdaulat, tidak ada apa kerosakan yang berlaku terhadap Islam, sebaliknya lebih terserlah akan pemikiran bebal secara sedar dalam kalangan golongan agama jadian.

Terdapat juga dalam kalangan pihak tertentu, berusaha untuk merasionalkan kewujudan kerajaan Muhyiddin Yassin (MY), bertujuan untuk menghapuskan stigma “kerajaan pintu belakang,” menghubung kaitkan dengan pembentukan kerajaan oleh Abdul Razak Hussein 23 Februari 1971 dan kerajaan yang dibentuk oleh Hussein Onn 15 Januari 1976. Dikatakan kedua kedua-dua tokoh tersebut menjadi Perdana Menteri (PM), melalui kaedah yang sama dengan apa yang dilakukan oleh MY, iaitu menggantikan Perdana Menteri sebelumnya.

Abdul Razak Husseim menggantikan Tunku Abdul Rahman (meletak jawatan), selepas Parlimen dipulihkan sebaik sahaja MAGERAN ditamatkan. Manakala Hussein Onn menjadi PM menggantikan Abdul Razak Hussein (meninggal dunia pada 14 Januari 1976). Itu kedudukan situasinya. Bahkan kedua-duanya diangkat menjadi PM atas kapasiti jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Namun apa yang nyata, Abdul Razak Hussein tidak membawa UMNO keluar daripada Kapal Layar (Perikatan) dan Hussein Onn tidak melarikan UMNO daripada kumpulan Dacing (Barisan Nasional) untuk bergabung dengan parti lawan yang kalah dalam Pilihan Raya Umum, sebaliknya MY membawa keluar Bersatu daripada Harapan, bersekongkol untuk membentuk kerajaan, berbekalkan akuan berkanun dengan mengutip sokongan ahli-ahli Parlimen, daripada parti-parti yang dinyah mandat oleh rakyat serta daripada kalangan desperado (bajingan) politik.

Jelasnya Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn tidak membentuk kerajaan diluar daripada mandat PRU yang diberikan rakyat. Sebaliknya kedua-dua tokoh tersebut menjadi PM dalam lingkungan parti yang menang hasil daripada mandat yang diberikan rakyat dalam PRU. Tidak sama sekali membentuk kerajaan berdasarkan langkah Sheraton, sebagai umpama. Berteraskan pengkhianatan setia kawan dan kepudaran prinsip moral akhlak politik.

Inilah kumpulan yang bangkrap daya fikir, bebal moral, terperangkap dalam psikologi pemikiran terkepung, “”apa yang menguntungkan kita adalah halal, apa yang menguntungkan orang lain adalah haram.”

Kononnya perlu ditumpukan untuk berperang melawan Covid-19, walhal yang mewujudkan realiti panik dalam pengurusan Covid-19 adalah daripada pihak kerajaan sendiri, namun gagal untuk menampilkan kredibiliti dalam penyampaian maklumat serta berdepan dengan masyarakat awam, sehingga pihak yang lebih terkedepan dalam medan perang Covid-19 adalah Ketua Pengarah Kesihatan, seolah-olah Kementerian Kesihatan tidak mempunyai menteri, atau mengesahkan bahawa menteri sememangnya hilang keyakinan dan kompetensi untuk berkomunikasi dengan khalayak awam.

* Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).