Malaysia Dateline

Pakej rangsangan ekonomi tidak seperti dijanjikan, kata Khalid Samad

Pakej rangsangan ekonomi prihatin yang diikrarkan Muhyiddin Yassin dikritik tidak seperti yang dijanjikan selepas pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) yang memutuskan untuk mengenakan faedah moratorium kepada peminjamnya.

Keputusan berkenaan dibuat selepas hampir sebulan Perdana Menteri mengumumkan bank-bank tempatan akan menawarkan penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam tempoh negara berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad mendakwa, sejumlah RM100 bilion dalam pakej rangsangan tersebut sebenarnya bukanlah bantuan dari kerajaan.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menjelaskan peruntukan tersebut adalah hasil tindakan kerajaan yang menangguhkan pembayaran semua jenis pinjaman moratorium yang telah dimasukkan sebagai pakej rangsangan.

“Kerajaan telah menjumlahkan semua pinjaman yang tidak dibayar, kemudian mereka kata inilah RM100 bilion pakej rangsangan itu. Bukan dia bayar bagi kita, tapi itu jumlah yang dia tangguhkan bayaran.

“Ini rangsangan apa? Bukan dia bayar kepada rakyat. Dia tak bayar, dia cuma tangguhkan. Lepas itu dia juga janjikan kita tak akan dikenakan bunga oleh kerana lambat bayar.

“Inilah yang dikatakan rangsangan seperti yang tidak dijanjikan. Maka orang semua naik marah kerana orang kena bayar lebih,” katanya dalam program Bicara Santai, “Pelonggaran PKP, Berani atau Gelojoh” menerusi Jom Channel FB Live.

Beliau berkata, apabila keadaan ini berlaku, ia memperlihatkan masalah komunikasi yang berlaku antara dua pihak dan seharusnya perbincangan dilakukan.

Terdahulu, seperti yang dilaporkan, dengan pengenalan moratorium, institusi kewangan terikat pelaporan kewangan, di mana mereka perlu mengemas kini nilai portfolio pembiayaan sedia ada dengan menggunakan aliran tunai terdiskaun.

Dengan nilai pembiayaan sedia ada, pertambahan tempoh pembayaran disebabkan tambahan enam bulan moratorium akan menyebabkan nilai semasa bersih portfolio pembiayaan akan berkurangan.

Pengurangan nilai semasa bersih ini menyebabkan institusi kewangan perlu melaporkannya sebagai peruntukan kerugian kredit yang dijangkakan di dalam penyata kewangan.

Nilai kerugian inilah yang disebut bantuan berjumlah RM100 bilion daripada pelaksanaan moratorium.