Malaysia Dateline

Pakej rangsangan ekonomi sepatutnya dibentang di Parlimen, kata Kit Siang

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi bertindak mengunci Parlimen dengan tidak membentangkan pakej rangsangan ekonomi yang dinamakan Penjana bagi menghadapi kesan wabak Covid-19 itu di Parlimen.

Kata beliau, ia sepatutnya dibuat di Parlimen supaya pakej rangsangan tersebut boleh diteliti, dibahas dan diluluskan.

Beliau mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menyifatkan Penjana itu sebagai pakej pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang “dipenuhi pelbagai tawaran menarik kepada komuniti perniagaan tetapi gagal memenuhi janji-janji bagi melindungi pekerja”.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, kata Ahli Parlinen Iskandar Puteri itu, bimbang sebagaimana Prihatin, iaitu pakej rangsangan ekonomi sebelum ini, Penjana juga akan gagal mengotakan pelbagai janji manisnya bagi memastikan golongan pekerja dilindungi terutama di saat ribuan orang kini kehilangan pekerjaan.

Katanya, menurut Solomon, pada masa sama pihak majikan mendapat pelbagai bantuan besar daripada kerajaan dari segi pinjaman tanpa faedah, geran dan subsidi gaji.

“Tempat terbaik untuk mendapatkan pandangan yang sah daripada pelbagai sektor masyarakat mengenai pakej rangsangan ekonomi kerajaan untuk disuarakan dan dirumuskan ialah di Parlimen,” kata veteran DAP itu melalui blognya semalam.

Ujar Kit Siang, pandemik Covid-19 kini merupakan bukukerja global tentang bagaimana sesebuah negara di seluruh dunia harus berhadapan dengan cabaran yang belum pernah dihadapi ini bagi memastikan ekonomi dan kehidupan sosial dapat dipulihkan secepat mungkin.

“Dan Malaysia muncul sebagai sebagai satu-satunya negara yang mengunci Parlimen, dan tidak membenarkan ia berperanan.

“Bolehkah Muhyiddin memberikan satu alasan atas sikapnya terhadap Parlimen dan amalan tidak demokratiknya itu?” soal Kit Siang.

Pada 5 Jun lalu, kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan tema Bersama Menjana Ekonomi bagi menangani impak pandemik koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah Penjana itu, kerajaan telah mengenal pasti tiga teras utama.

Menurutnya, pertama ialah memperkasakan rakyat dan kedua, melonjakkan perniagaan serta ketiga, merangsang ekonomi.