Malaysia Dateline

Pakej RM250 bilion untuk semua lapisan masyarakat

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion yang memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion memperkukuhkan ekonomi negara.

“Semua itu tambahan kepada RM20 bilion yang telah diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.

“Keutamaan kerajaan pada waktu ini ialah untuk membendung penularan wabak Covid-19. Untuk itu, saya telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Bagi meningkatkan lagi keupayaan Kementerian, Kerajaan akan menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi pembelian peralatan dan perkhidmatan untuk memerangi Covid-19, termasuk mendapatkan khidmat kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) hari ini.