Malaysia Dateline

Pakistan mahu ikut model ekonomi Malaysia, kata Imran Khan

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia berkata Pakistan mahu belajar tentang model pembangunan ekonomi Malaysia, lapor The Express Tribune.

Jelas beliau, “Kami melihat anda (Dr Mahathir) sebagai negarawan, seseorang yang mentransformasikan negara ini,”.

“Kami telah mengikuti kemajuan Malaysia terutamanya sejak Dr Mahathir kembali semula menjadi Perdana Menteri dan parti saya (Pakistan Tehreek-e-Insaf) ingin belajar daripada pengalaman anda bagaimana anda mentransformasikan ekonomi dan membangunkannya, meningkatkan pendapatan per kapita, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya pada sidang media bersama Dr Mahathir.

Beliau juga turut berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana Malaysia membangunkan industri pelancongan, jelas beliau, “Kami mempunyai tempat pelancongan tetapi kami tidak mempunyai pusat peranginan,”.

Tambah Khan, kedua-dua mereka telah mendapat mandat untuk memimpin negara berdasarkan kempen terhadap anti korupsi. Beliau juga berkata Pakistan dan Malaysia menghadapi situasi yang sama daripada segi hutang yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Kenyataan bersanam dua negara

Kedua-dua pemimpin negara itu bersetuju untuk meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Pakistan, mengambil kira hubungan dua hala kedua negara yang berlandaskan hubungan kukuh dalam sektor ekonomi dan komersial, antara lain.

Khan dan Dr Mahathir turut komited untuk mengukuhkan hubungan ekonomi, mengembangkan perdagangan dan pelaburan, serta mewujudkan keadaan bersesuaian bagi pertumbuhan industri perniagaan dan komersial, khususnya minyak kelapa sawit, produk pertanian dan makanan, produk halal, peralatan otomotif, sains dan teknologi serta telekomunikasi.

Syarikat pembekal elektrik di Malaysia, Tenaga Nasional Berhad juga akan meneroka peluang perniagaan di Pakistan terutamanya dalam bidang pembaharuan tenaga.

Malaysia dan Pakistan turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan berkala demi memperkukuhkan hubungan perdagangan di dalam sektor-sektor utama dan menyelesaikan isu perdagangan dua hala yang tidak seimbang.

Perbincangan ini akan dijalankan di bawah perjanjian di antara Malaysia dan Pakistan yang ditandatangani pada 8 November 2007 di Kuala Lumpur dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2008.

Dr Mahathir turut menyatakan komitmen Malaysia untuk membantu Pakistan dalam isu kekurangan tenaga, di bawah perjanjian di antara kerajaan dalam Liquiefied Natural Gas (LNG).

Khan juga turut menyatakan minat untuk mengadakan kerjasama lebih erat di antara industri teknologi tinggi.

Malaysia turut menjemput syarikat-syarikat Pakistan untuk melabur di Malaysia di dalam sektor perkilangan dan servis.

Hal ini akan memberi peluang Pakistan untuk mengembangkan pelaburan kepada Asean and seterusnya rantau Asia Pasifik.

Pakistan turut menjemput syarikat-syarikat Malaysia untuk melabur di Zon Istimewa Ekonomi, mengambil kira kawasan strategik Pakistan yang terletak di antara Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Barat.