Malaysia Dateline

Paksa sekolah sewasta tiada yuran semasa ditutup jejas servival sekolah

Pengusaha sekolah swasta amat gusar dengan kenyataan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub agar sekolah swasta tidak mengenakan yuran ketika sekolah itu ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Ini kerana, tindakan memaksa sekolah swasta tidak mengambil yuran ketika sekolah ditutup amat menekan servival mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Ikram, Prof Dr Omar Yaakob berkata, tindakan itu akan memberi kesan terhadap kelangsungan (survival) sekolah-sekolah swasta, terutamanya yang tidak berorientasikan keuntungan seperti sekolah-sekolah di bawah rangkaian IKRAM MUSLEH.

“Seperti dimaklumi, kos operasi sekolah persendirian adalah bergantung hampir sepenuhnya kepada yuran-yuran pengajian sekolah setiap bulan.

“Sebahagian besar daripada pendapatan ini diperuntukkan kepada penggajian guru dan staf sekolah.

“Bagi sekolah-sekolah yang berorientasikan kebajikan seperti sekolah-sekolah di bawah rangkaian IKRAM MUSLEH, kemungkinan gulung tikar amat besar jika ibu bapa tidak membayar yuran bulanan seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sekolah persendirian telah akur dengan arahan-arahan pihak kerajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sekolah terpaksa ditutup dan guru tidak dapat melaksanakan PdPC bersemuka seperti biasa.

Pada 17 Mei 2020 yang lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) sendiri mengingatkan bahawa sekolah-sekolah swasta dan antarabangsa tidak dibenarkan beroperasi.

“Atas rasa amanah dan bertanggungjawab serta mengikut Surat Siaran KPM bertarikh 27 Mac 2020, sekolah-sekolah persendirian telah menjalankan pelbagai inisiatif dan inovasi dalam proses pendidikan termasuklah PdP, program kokurikulum dan program pentarbiahan pelajar secara maya.

“Hampir kesemua inisiatif dan inovasi tersebut dilaksanakan dalam talian semenjak tarikh mula PKP pada 18 Mac 2020 sehingga sekarang. Jelasnya guru-guru bukan sahaja menjalankan tugas mengajar malah lebih daripada itu,” katanya.

Sekolah-sekolah ini juga telah akur dengan arahan bahawa mana-mana institusi tidak dibenarkan memberhentikan pekerjanya, malah pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan bagi memastikan pemberhentian tidak dilakukan.

Bukan mudah untuk sekolah-sekolah swasta memberhentikan guru, mengelakkan dari membayar gaji guru atau mengurangkan gaji apalagi apabila mereka tetap ditugaskan untuk menjalankan aktiviti PdPC walaupun secara dalam talian, kata beliau.

“Sehubungan dengan itu, sukacita diingatkan bahawa pihak pendidikan swasta telah berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam pembangunan negara (nation building) dengan memberi perkhidmatan pendidikan yang berkualiti.

“Tambahan pula, pihak pendidikan persendirian/swasta (di pelbagai peringkat) telah menyediakan lebih 100,000 peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Pengalaman dan kepakaran pihak pendidikan persendirian/swasta (di pelbagai peringkat) juga dikongsikan dengan pihak KPM bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan secara berterusan.

Degan itu, IKRAM MUSLEH memohon Menteri Kanan Keselamatan akan perkara-perkara berikut:

1. Menarik balik kenyataan beliau berkaitan isu yuran pengajian pelajar sekolah swasta.

2. Mengiktiraf dan memberi sokongan penuh kepada usaha pendidikan swasta dalam pembangunan negara (nation building).

3. Membenarkan sekolah-sekolah swasta beroperasi dengan SOP sendiri dengan mengambil kira peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.