Paksa tahanan Sosma mengaku, waris mahu Zamihan disiasat

Siasatan perlu dijalankan ke atas Zamihan Mat Zin berhubung enam laporan polis yang dibuat oleh waris tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kata peguam Faizal Rahman.

Beliau yang mewakili enam tahanan Sosma terbabit berkata, laporan polis telah dibuat oleh waris-waris pada 9 Jun lalu ekoran pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu memaksa tahanan untuk mengaku salah ketika memberi ceramah sempena Nuzul Quran di Penjara Sungai Buloh pada 31 Mei lalu.

“Menurut mereka, Zamihan bukan sahaja memaksa untuk tahanan-tahanan mengaku salah tetapi turut mengeluarkan kenyataan yang berunsur hasutan, hinaan dan melemparkan fitnah kepada beberapa orang pemimpin negara.

“Zamihan turut menghasut Orang Kena Tuduh (OKT) bahawa tiada guna melantik peguam dan perlu mengaku salah sahaja kerana tahanan memang pengganas,” dedahnya ketika sidang media bersama waris-waris terbabit di Setapak, Kuala Lumpur hari ini.

Faizal turut menambah, fungsi dan peranan Zamihan terutama dalam kes Sosma juga perlu dikaji semula.

Zamihan, 42, sebelum ini dikatakan kerap dipanggil menghadiri forum membanteras keganasan.

Beliau yang berasal dari Gua Musang, Kelantan itu dikenali kerap menyerang ramai intelektual dan cendekiawan Islam.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu juga pernah mengaitkan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad dengan aliran Wahabi.

Melalui akaun Facebook Ustaz Zamihan Al-Ghari pada 26 November 2016 pula, gambar pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips dimuat naik dengan kapsyen yang mendakwanya sebagai penyokong pengganas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *