Paksi dan intelektual berintegriti

Paksi dan intelektual berintegriti

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Di tengah gegak gempita politik yang menggila dan tidak menentu, sekumpulan para seniman rakyat yang berada dalam kumpulan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) meneruskan pelbagai kegiatan mereka di sebuah tempat sederhana – Madrasah Seni, di Gombak, pinggir ibukota.

Setiap bulan mereka mengadakan bacaan puisi pelbagai tema, dengan dendangan lagu-lagu rakyat oleh seniman Roslan Madon dari Pahang, dimeriahkan lagi dengan bacaan puisi para penulis – Dinsman, Sasterawan Negara, A. Samad Said, Yasin Saleh, Hishamudin Rais, Ir. Shaari Sungib dan anaknya, Ahkarim, Kasim Muhamad dan ramai lagi.

Hari Sabtu lalu, dikalangan seniman Paksi ini mengadakan Sidang Meja Bulat di sebuah hotel di Shah Alam dihadiri oleh para seniman dan ahli akademik dari beberapa buah universiti. Mereka membincangkan tekad ‘Tekad Budaya’, tema yang dominan dalam pemikiran pemimpin Paksi, saudara Dinsman.

Sehari sebelum itu, program bacaan puisi bertema ‘Politik Gila’ di Madrasah Seni. Penuh dengan sindiran tajam.
Tidak lama lagi Dinsman akan mengarahkan pula ‘Teater Atas Pokok’, sebuah drama yang berlatarbelakangkan pokok besar di Shah Alam.

Ini adalah sebuah drama yang mungkin dilihat ganjil dan melucukan, tetapi itulah keistimewaan Dinsman dan kawan-kawannya yang kini sedang giat mengadakan latihan.

Dalam ucapannya di Sidang Meja Bulat ‘Tekad Budaya’ Sabtu lalu itu, Sasterawan Negara, A. Samad Said, menyampaikan ucapan yang sangat menarik.

Beliau melihat Paksi sebagai lanjutan atau pewaris dari Angkatan Sasterawan 50 di Singapura dulu dan dilanjutkan di Malaysia oleh para penulis seperti Usman Awang, Kris Mas, Asraf dan lain-lain.

Menurutnya, Asas 50 sama-sama berjuang dalam gelombang menuntut kemerdekaan tanah air, di samping memperjuangkan keadilan sosial.

Sasterawan Negara itu melihat Paksi kini turut sama berusaha mengisi kemerdekaan di samping memberikan pandangan yang membina terhadap apa yang berlaku kepada negara sekarang ini.

Lebih dari itu, kata A. Samad Said, Paksi juga berusaha mengajak rakyat ke arah memahami dan melaksanakan erti demokrasi dan keadilan sosial.

Menurutnya, Paksi adalah jambatan buat menyeberang ke negara yang diidamkan, yang akhirnya, Insya-Allah katanya, kita semua akan sampai ke sana jua.

Idea Sidang Meja Bulat Tekad Budaya itu dicetuskan oleh Dinsman yang sudah lama merindukan supaya peranan ahli politik tidak berlebihan, hingga mendominasi segala kehidupan rakyat yang menyebabkan negara menjadi begini jadinya.

Dinsman mahukan para intelektual, atau para ilmuan, khususnya budayawan, berada di tengah gelanggang masyarakat dalam menentukan hala tuju masyarakat, masa depan negara, bukan sang politikus yang sarat dengan segala kepentingan.

Saya memahami hasrat Dinsman itu dan turut memberikan pandangan dalam dialog Meja Bulat itu serta bersetuju dengan saranan Dinsman.

Oleh itu, kata saya, mesti dibina suasana di mana golongan intelektual berintegriti tinggi – termasuk para seniman dan budayawan – yang boleh dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

Hinggakan, menurut pendapat saya, pemikiran intelektual berintegriti tinggi itu mampu mendominasi pemikiran dan hala tuju rakyat, bukan pemimpin politik yang kini mendominasi segalanya.

Sebagai contoh, kata saya, di zaman 50-an dan 60-han, malah 70-an, para intelektual, termasuk para sasterawan, mendominasi pemikiran masyarakat, suara mereka didengar, walaupun pada masa itu pemimpin politik juga hadir di tengah masyarakat. Tetapi masyarakat ada pilihan untuk mendengar pemikiran intelektual.

Kekuatan golongan intelektual ini, walaupun terbatas pada zamannya, tetapi mampu mengadakan kegiatan besar besar seperti mengadakan Kongres Bahasa pada tahun 50-an di Singapura, kemudian di Johor Bahru, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, dengan penampilan para tokoh seperti Pendeta Za’aba, Tan Sri Syed Nasir Ismail, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestaman, Aminudin Baqi, Dr. Burhanudin Al-Helmi, Harun Mohd Amin, Usman Awang, Kris Mas dan lain-lain.
Para tokoh intelektual berintegriti tinggi ini mendominasi pemikiran masyarakat Melayu, bukan pemimpin politik.
Malangnya kini, walaupun pencapaian teknologi begitu tinggi, tetapi segala-galanya dilihat bahawa pemimpin politiklah yang menentukan segala-galanya, bukan saja penghidupan ekonomi dan sosial, tetapi juga hala tuju seni budaya kita.

Di mana para sasterawan yang sepatutnya berada di tengah gelanggang masyarakat, bersama rakyaat, seperti A. Samad Said, tidak kelihatan. Apa masalahnya. Inilah antara sebab golongan intelektual kita – termasuk para sasterawan – kelihatan terpingir. Maka pemimpin politillah mendominasikan segala-galanya.
Di sinilah saya berfikir, walaupu Paksi tercungap-chungap untuk melansungkan servivalnya, dalam kapasiti yang terbatas, namun badan seni budaya pimpinan Dinsman ini masih mampu menggagahkan dirinya meneruskan pelbagai kegiatan seni budaya.

Sudah ramai yang tertarik dengan kegiatan Seniman Paksi Rakyat ini. Yang datang ke program Paksi bukan saja para sasterawan yang sentiasa dekat dengan Psksi, tetapi juga ahli lopitik seperti Adun Ulung Kelang, Saari Sungib dan anak isterinya, Adun Kuala Kubu, Senator Syed Shahir, Syed Husin Ali, Hishamudin Rais dan teman-temannya serta ramai lagi, di sampng bakat muda penyair yang mulai berdatangan di majlis Paksi..

Di majlis Meja Bulat Tekad Budaya baru-baru ini turut hadir sejumlah ahli akademik seperti Dr. Zainal Latif, Lena Farida Chen, Dr. Ali Nor, Dr. Fadhilah Husin, Prof. Dr. Shahril Mohd Zain, Razali Endun, Ahkarim dan ramai lagi.

Ini isyarat bahawa, Paksi dan Madrasah Seninya sudah diterima oleh pelbagai pihak.

Tentu saja sangat diharapkan supaya pelbagai pihak terus memberi sokongan kepada perjuangan Paksi untuk memartabatkan seni budaya dan memugar golongan intelektual berintetgriti tingi menjadi golongan terpandang dalam masyarakat, justeru inilah tekad budaya kita yang diperjuangkan oleh Paksi.

 

 

TAGS