Malaysia Dateline

Palestin pada kerangka media

Tulisan Palestin sudah banyak. Perang tidak pernah berhenti. Genjatan senjata dan berdamai hanya untuk mempersiapkan peperangan semula. Jika tidak sekarang, mungkin akan datang. Seratus hari, seratus tahun atau berapa abad kemudiannya. Itu adalah persoalan kehidupan manusia yang saling bersaing.

Persoalan Palestin pun masih tetap sama. Kewujudan entiti politik haram Isreal adalah kewujudan siri peperangan yang panjang. Isreal tidak boleh disebut negara walaupun sudah diiktiraf sebagai sebuah entiti negara.

Kewujudannya bukan sekadar milik sistem politiknya sendiri tetapi sudah berada dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang tersedia dibentuk oleh pendokong sistem itu sendiri.

Saya ingin memulakan perbincangan mengenai Palestin dengan Deklarasi Balfour pada 1918. Itulah dokumen rasmi yang membawa kewujudan entiti haram itu. Bagaimana Palestin dikemukakan dalam media dan dikongsi oleh masyarakat? Ini mauduk artikel yang sedang dihadap.

Media adalah cara komunikasi yang membolehkan maklumat disebarkan kepada masyarakat, melalui radio, televisyen, suratkhabar, majalah, filem, dan juga internet.

Sejarahnya, media menjadi suatu industri besar bermula selepas Perang Dunia Pertama. Ia mempunyai fungsi bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi penguasaan minda orang awam.

Selari dengan dekad pada masa itu, idea politik propaganda dimulakan dalam kerajaan moden oleh Presiden Amerika Syarikat Woodrow Wilson secara agresif. Propaganda itu untuk menyokong hasrat Amerika Syarikat menyertai perang di Pasifik.

Istilah

Deklarasi Balfour hanya mempunyai 130 perkataan termasuk tanda tangan Arthur James Balfour, Setiausaha Luar Negeri Britain. Deklarasi itu dihantar kepada Presiden Gerakan Zionist, Lord Rothschild. Deklarasi tersebut kemudiannya tersebar, berpengaruh hingga mengubah mengubah peta dunia dan mencetuskan ketegangan dan peperangan berpanjangan.

Daripada 130 perkataan, Balfour memilih perkataan yang mempunyai makna yang tersendiri:
1. Declaration of sympathy
2. Jewish Zionist aspiration
3. Establish in Palestine
4. National home
5. Jewish people
6. Prejudice

7. Civil
8. Religious rights

Deklarasi itu dimulai dengan meminta perasaan simpati terhadap masyarakat Yahudi yang ketiadaan negara. Yahudi menjadi diaspora merata-rata tempat demi meneruskan kehidupan. Istilah-istilah yang digunakan secara umumnya suatu yang diterima umum.
Contohnya, ‘national home’ adalah dianggap satu keperluan pada masa itu kepada semua bangsa. Lalu mereka memasukkan bangsa Yahudi sebagai salah satu bangsa yang memerlukan ‘national home’.

Pembentukan ‘national home’ untuk bangsa Yahudi disebutkan dalam deklarasi itu dilakukan tanpa rasa prejudis dan akan tetap menjejaskan hak-hak agama. Istilah-istilah tersebut kelihatan menarik, kemanusiaan, universal dan berperlembagaan. Istilah inilah yang digunakan dalam media bagi mereka menjaja kewujudan negara haram Israel.

 

Perlu difahami juga pada dekad tersebut idea nasionalisme ibarat pisang goreng panas. Idea ‘nation state’ berasaskan bangsa dijual bagi menutup kejahatan imperialisme dan kolonialisme Eropah. Lalu garis pemisah politik di peta diubah. Peperangan meletus. Pembunuhan dibenarkan atas nama negara dan kedaulatan wilayah dan manusia menjadi pelarian.

Berpuluh-puluh tahun kemudian, serangan bom dan peluru demi peluru berserta serangan karangan demi karangan propaganda membanjiri laut manusia. Kombinasi pakar politik, ketenteraan, strategi dan juga pengarang kata dan sebagainya membina naratif sendiri untuk disemai dalam kotak-kotak pemikiran masyarakat.

Lalu membenih naratif melalui media samada secara istilah, teks, foto atau filem yang mempunyai makna tersendiri. Dalam artikel ini, memadai hanya dua perkara yang akan disentuh; istilah dan tanda baca sahaja. Sebagai contohnya dari segi istilah, persoalan Palestin dilihat sebagai konflik (conflict) dan tidak dianggap kolonialsm (colonialism) atau penjajahan (occupied).

Sedangkan istilah konflik lebih merujuk pertentangan antara dua kelompok yang berbeza tetapi dalam masih di dalam satu kelas atau kelompok yang sama. Manakala istilah kolonialsm ia merujuk kepada pencerobohan kuasa luar terhadap suatu kawasan yang bebas. Kemudian penceroboh menguasai dan bertindak bebas di kawasan tersebut untuk pengekalan kuasa. Tentu sekali istilah ‘konflik’ tidak boleh digunakan dalam persoalan Palestin-Israel.

Sama seperti yang British lakukan di Malaya selepas Perang Dunia Kedua bagi berhadapan dengan tantangan Parti Komunis Malaya (PKM), bekas sekutunya semasa perang. British menggunakan istilah ‘bandit’ atau dalam Bahasa Melayu sebagai ‘pengganas’ kepada anggota PKM. Istilah itu sendiri telah mewujudkan tindakan yang sangat berbeza.

Pihak berkuasa di Palestin adalah pihak berkuasa yang sama di Malaya pada masa itu. Iaitu British. Pendekatan dan matlamat politik tidak banyak berbeza. Media yang dikuasai British menggunakan istilah conflict, militant, radical, extremist kepada penentangnya seperti orang Palestin samada Fatah, Hamas atau orang awam yang menentang penubuhan negara haram Isreal.

Tanda baca

Proses ini berlaku berterusan, berpanjangan dan bersistematik. Serangan balik propaganda dari Palestin atau yang menentang Isreal menyebabkan berlaku penyesuaian beberapa teknik baru dalam pembentukan naratif Palestin di media.

Ia mungkin dilihat satu langkah yang lebih sederhana untuk diterima oleh ramai pihak. Media akan menggunakan tanda baca (simbol) sebagai teknik membina naratif mengenai Palestin.

Sebagai contoh ialah tanda baca seperti tanda petik tunggal (‘) bagi menunjukkan perbezaan pandangan. Contohnya ‘martyrdom’ ‘Occupied’, ‘Colonialism’ bermaksud tidak syahid, bukan penjajahan dan bukan kolonialsm.

Manakala contoh lain penggunaan tanda petik tunggal ini dalam menyiarkan berita tentang tindakan Israel. Media barat atau sekutunya menganggap itu adalah suatu ‘defence of Jerusalem’.

Penggunaan tanda petik tunggal itu jelas tidak merujuk maksud sebenar. Ia lebih meminjam naratif yang menyokong perjuangan Palestin. Jika ditiadakan tanda petik tunggal itu ia memberi makna yang saling bertentangan.

Satu lagi tanda yang sangat popular digunakan ialah tanda soal (?) di belakang suatu kenyataan. Teknik ini adalah mengajak pembaca menjawab persoalan yang direka oleh penulis. Kadangkala soalan tersebut adalah bertujuan mewujudkan naratif kesangsian, kecurigaan dan keraguan kepada publik.

Penggunaan tanda soal (?) juga untuk mengelakkan sebarang tindakan undang-undang pihak tertentu. Biasanya teknik ini dilakukan oleh media-media yang tidak mempunyai kewibawaan dalam tugas-tugas kewartawanan atau tidak mempunyai asas journalism kuat.

Ia lebih popular dilakukan oleh media picisan dan bersifat sangat propagandis. Banyak lagi tanda baca yang digunakan bagi memperkukuhkan sesuatu naratif atau menyerang naratif lain.

Jika ada kesempatan lain, kita bincang teknik lain naratif Palestin dibina oleh media.