Malaysia Dateline

Palestin: Perlu diorientasi semula fokus isu

Sepertimana kelaziman isu Palestin kembali menjadi panas ekoran siri insiden yang terjadi di Tebing Barat akibat usaha penjajah Zionis mengusir penduduk perkampungan Sheikh Jarrah disusuli tindakan polis Zionis memasuki Masjidil Aqsa pada penghujung Ramadhan lepas sehingga berlarutan ke bulan Syawal.

Ia turut menyaksikan serangan Zionis Israel terhadap Gaza dengan mengakibatkan ratusan nyawa terkorban dan ramai lagi tercedera, tidak termasuk kemusnahan kepada rumah, bangunan, infrastruktur dan kemudahan-kemudahan di wilayah yang terkepung itu.

Dan seperti biasa juga reaksi kepada perkembangan-perkembangan ini juga hampir sama dengan yang pernah dibuat sebelum ini ketika mana Zionis Israel menjalankan operasi serangan dan pencerbohan ke atas Gaza pada tahun 2008, 2012, 2014 dan 2018.

Palestinian girl Suzy Eshkuntana, 6, is treated by a medic at a hospital after being pulled from the rubble of a building amidst Israeli air strikes, in Gaza City May 16, 2021. REUTERS/Mohammed Salem SEARCH “SUZY ESHKUNTANA” FOR THIS STORY. SEARCH “WIDER IMAGE” FOR ALL STORIES.

Apa yang jelas ialah sementara isu ini berpanjangan dan serangan Zionis berterusan dari semasa ke semasa, terdapat usaha yang giat dalam kalangan Zionis dan penyokong-penyokong mereka.

Ini termasuklah dari media yang tidak menyelidik fakta sebenar sebaliknya bergantung kepada media dikuasai Barat, bagi memperlihatkan dan menyampaikan maklumat berkaitan krisis ini daripada perspektif Israel bagi membina kepercayaan masyarakat dunia terhadap segala keganasan mereka itu.

Dan sudah tentu usaha tersebut digandakan ketika berlaku serangan Zionis Israel ke atas wilayah Palestin, sama ada di Gaza mahupun Tebing Barat, kerana ingin bersaing dengan laporan-laporan yang keluar daripada kawasan yang diserang itu yang memberikan maklumat alternatif yang lebih adil memaparkan korban jiwa dan harta benda yang tinggi.

Membentuk persepsi masyarakat antarabangsa supaya menyokong tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan Zionis Israel merupakan agenda jangka panjang dalam mencapai hasrat dan objektif Israel Raya yang diidamkan gerakan Zionis yang pada ketika ini sedang rancak mengusahakan rancangan besar menguasai seluruh wilayah Palestin agar apa-apa “solusi” – seperti solusi “dua negara” – tidak dapat dicapai atau dilakukan kerana ia tidak praktikal lagi.

Justeru, selain media di dunia Islam, media lain baik di Barat atau di Timur, kebanyakannya membawa naratif “konflik” yang menggambarkannya sebagai satu konflik semata-mata yang boleh diselesaikan sekiranya “kedua-dua pihak menghentikan provokasi dan keganasan”. Ungkapan yang tidak mempunyai makna dan tidak dihormati oleh kuasa penjajah Israel.

Apabila kita membaca laporan dan analisis mengenai pencerobohan terbaru Zionis Israel ke atas Gaza, rata-rata naratifnya ialah untuk menyalahkan Hamas dan pihak Palestin yang dikatakan melancarkan roket ke arah Israel yang menyebabkan beberapa orang terbunuh dan terjadinya kemusnahan kepada infrastruktur di beberapa bandar di Israel.

Sebarang kenyataan tentang pengusiran penduduk Palestin di Syeikh Jarrah atau pencabulan polis Israel ke atas Masjid al-Aqsa diperkecilkan seolah-olah ia bukan peristiwa-peristiwa yang signifikan.

Kita boleh perhatikan tajuk dan laporan yang dibuat beberapa media atas talian yang membawa naratif tersebut. Contohnya, laporan akhbar India, The Economic Times pada 20 Mei yang lepas di bawah tajuk “Here’s a timeline of the deadly Gaza violence between Israel and Palestine” (Inilah catatan sejarah keganasan dahsyat di antara Israel dan Palestin di Gaza).

Antara lainnya laporan itu menyebut “pada petang Mei 10, pemimpin Islamis Gaza, Hamas, melancarkan siri roket ke arah Israel sebagai tanda solidairiti dengan rakyat Palestin di Timur Jerusalem yang diduduki”.

Laporan itu menyambung, “ia merupakan tindakan susulan kepada pergaduhan beberapa hari antara orang Palestin dan pasukan keselamatan Israel di Jerusalem Timur, yang dicetuskan oleh usaha bertahun-tahun penduduk Yahudi untuk mengambilalih rumah orang Arab dan bantahan yang memuncak dengan pasukan Israel menyerbu kawasan getir Masjid al-Aqsa”.

Tajuknya pun menyembunyikan hakikat bahawa apa yang terjadi bukan satu “catatan sejarah keganasan antara Israel dan Palestin” bahkan satu catatan siri serangan Israel ke atas penduduk Gaza bagi memenuhi kehendak dan tujuan rancangan besar Zionis Israel bagi membentuk negara Israel yang tidak mempunyai penduduk Palestin atau dalam bilangan yang amat kecil sahaja.

Penekanan lebih diberi kepada pelancaran roket oleh Hamas – yang sebenarnya telah memberikan amaran kepada Israel lebih awal seandainya askar Zionis tidak keluar daripada Masjidil Aqsa serangan akan dilakukan.

Tindakan Israel mengebom Gaza secara besar-besaran untuk beberapa hari berikutnya tidak pula dijadikan isu sedangkan bilangan nyawa yang terkorban adalah tinggi terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Kita membaca juga tajuk-tajuk seperti “Majlis Keselamatan PBB bermesyuarat mengenai ‘keganasan’ Israel- Palestin”. Bermakna apa yang terjadi selama beberapa hari di Gaza dan Tebing Barat adalah semata-mata “keganasan”, sedangkan ia merupakan satu lagi usaha untuk menghancurkan rakyat Palestin yang menentang pendudukan Zionis Israel di atas tanah mereka.

Saluran media seperti BBC pun tidak kurang dalam memajukan perspektif yang salah mengenai isu Palestin. Apa yang dipaparkan oleh saluran media itu amat menjengkelkan memandangkan pertubuhan media tersebut mempunyai keupayaan dan sumber yang cukup untuk menyediakan bahan bacaan yang benar mengenai isu Palestin.

Laporannya pula mengenai serangan Israel pada bulan Mei mengikuti garis idea yang sama – iaitu yang bersalah adalah Palestin (yang diwakili Hamas) kerana dikatakan mencetuskan “keganasan”. Lebih dahsyat lagi ialah cerita dongeng yang direka bertujuan memberi “pencerahan” tentang asal usul “konflik” itu.

Dalam satu laporannya yang terbit pada 21 Mei yang lepas di bawah tajuk “ Keganasan Israel-Gaza: Penjelasan Konflik” ia bermula dengan memberikan sejarah yang dimanipulasi kepada pembaca. Berikut ialah sebahagian daripada “pencerahan” yang diberikan:

“Britain telah menguasai kawasan yang dikenali sebagai Palestin selepas pemerintah kawasan Timur Tengah itu, Empayar Uthmaniyyah ditewaskan pada Perang Dunia kedua. Ia dihuni minoriti Yahudi dengan orang Arab sebagai majoriti. Ketegangan antara kedua-dua kelompok ini semakin menjadi-jadi ketika komuniti antarabangsa menugaskan Britain dengan penubuhan sebuah ‘negara’ di Palestin bagi orang Yahudi.

Bagi orang Yahudi ia adalah negara nenek moyang mereka, namun Arab Palestin juga mendakwa pemilik tanah itu dan menentang usaha tersebut. Antara 1920-1940an, bilangan orang Yahudi yang tiba di sana bertambah, di mana ramai melarikan diri daripada penindasan di Eropah dan mahu mencari negara sendiri selepas terjadinya Holocaust semasa Perang Dunia ke 2.

Keganasan antara Yahudi dan Arab dan juga terhadap pentadbiran British semakin memuncak. Tahun 1947, PBB mengundi untuk memecahkan Palestin kepada dua negara, satu untuk orang Yahudi dan satu lagi untuk orang Arab, di mana Jerusalem akan kekal sebagai bandaraya antarabangsa.

Rancangan tersebut diterima oleh orang Yahudi tetapi ditolak oleh orang Arab. Apabila pada 1948, British tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut dan meninggalkan Palestin, pemimpin Yahudi telah mengisytiharkan penubuhan negara Israel. Kebanyakan orang Palestin membantah dan berlakulah perang. Ratusan ribu orang Palestin melarikan diri atau diusir dalam apa yang digelar mereka sebagai Nakba.”

Beginilah cara pemesongan kenyataan dan realiti dibuat media buat membina persepsi yang Zionis Israel adalah entiti yang sah dan apa juga tindakannya sejak tahun 1948 adalah bagi melindungi entiti itu.

Britain menguasai Palestin sebagaimana ia menguasai negara dan wilayah lain di dunia. Bukanlah kerana kekalahan pihak Uthmaniyyah semata-mata dalm Perand Dunia ke 2.

Penubuhan sebuah negara bagi orang Yahudi bukanlah datang daripada permintaan masyarakat antarabangsa bahkan daripada permintaan tokoh-tokoh Zionis antaranya Theodor Herzl yang sebelum itu telah menulis buku menggariskan hasrat gerakan Zionis itu. Britain telah bersetuju untuk menyediakan negara bagi Yahudi di Palestin. Itulah faktanya.

Rakyat Palestin memang telah mendiami kawasan itu sejak berkurun lamanya justeru itu tidak timbul istilah “dakwaan” mereka telah tinggal di sana, dan kawasan itu dituntut oleh Yahudi sebagai tanah nenek moyang mereka. Hakikatnya orang Arab dan Yahudi telah sama-sama menghuni kawasan itu yang dikenali sebagai Palestin.
Peristiwa Holocaust tidak menjadi sebab untuk kaum Yahudi mencari “rumah baru” disebabkan Yahudi yang datang untuk membina Israel adalah daripada kalangan Ashkenazi yang merupakan Yahudi Eropah, bukan Yahudi yang berasal daripada wilayah Palestin walaupun mereka yang ditindas di Jerman semasa Perang Dunia ke 2 juga telah mencari perlindungan dan rumah baru di Palestin.

Selesai Britain memberikan kawasan di Palestin untuk kaum Yahudi maka berlakulah konflik terbuka antara orang Arab Palestin dan orang Yahudi yang tidak terjadi sebelumnya kerana Arab dan Yahudi hidup aman damai dalam negara Palestin yang sedia wujud.

Hanya setelah projek “Israel” dimulakan dengan kemasukan begitu ramai Yahudi dari luar yang menjadikan keadaan tidak dapat dikawal. Ini disebabkan antara lain kerakusan pendatang yahudi untuk mengusir penduduk asal Palestin daripada rumah dan kampong halaman mereka dan mengubahnya kepada perkampungan dan kawasan penduduk pendatang Yahudi – yang masih berjalan sehingga ke hari ini di Tebing Barat khususnya dalam apa yang dikenali sekarang sebagai ‘penempatan Yahudi’ (Jewish settlements) yang tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa.

Perang yang menyusuli pengisytiharan Zionis terhadap penubuhan negara Israel – yang sebenarnya mendapat sokongan kuasa-kuasa Barat dengan mengenepikan bantahan rakyat Palestin dan negara-negara Arab – memang dijangka terjadi kerana negara-negara jiran Arab membantah pemaksaan sebuah negara baru bagi kaum Yahudi di tengah-tengah orang Arab.

Apatah lagi cara penubuhannya ialah dengan mengusir orang Palestin yang sudah lama mendiami wilayah itu. Namun kerana perancangan penubuhan Israel adalah secara komprehensif antara pemuka-pemuka Zionis dengan negara-negara Barat rancangan pengusiran penduduk Palestin berjaya dan hasrat negara Zionis Israel tercapai walaupun mengikut sempadan tahun 1948 yang lebih kecil daripada sekarang.

Laporan BBC ini langsung tidak mendedahkan bagaimana pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh gerakan teroris Zionis antaranya di Deir Yassin menjadi punca kepada rakyat Palestin melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa. Akhirnya mereka menjadi pelarian di negara-negara Arab sekeliling dan negara lain di Teluk.

Justeru itu media antarabangsa yang memetik bulat-bulat “fakta” daripada sumber-sumber yang giat membina persepsi “Israel sebagai mangsa serangan Hamas” dan “Israel perlu mempertahankan diri” hanya menambahkan kesengsaraan rakyat Palestin disebabkan berjaya membina persepsi yang dikehendaki oleh Zionis Israel sebagai “mangsa” dan simpati kepada Palestin tidak seperti yang sepatutnya.

Walau bagaimanapun pertembungan selama beberapa hari pada bulan Mei lepas sudah mula menampakkan usaha Zionis untuk menyalahkan Palestin kini tidak lagi seperti dahulu.

Kini sudah ada peralihan dalam pendapat umum di Barat mengenai isu Palestin itu sendiri. Ini merupakan perkembangan yang positif yang bakal memberi nafas baru kepada perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali hak mereka.

*DR ABDUL LATIFF MOHD IBRAHIM merupakan bekas Prof Madya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.