Malaysia Dateline

Teruskan perjuangan, solidariti bersama Palestin

Rakyat Palestin pada 29 November lalu meraikan Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin dengan pelbagai aktiviti, walaupun peningkatan pencerobohan pendudukan Israel dan penindasan di seluruh wilayah Palestin yang diduduki masih berlaku.

Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin adalah peluang untuk menarik perhatian dunia bahawa isu Palestin masih belum selesai walaupun berdekad-dekad lamanya serta banyak resolusi antarabangsa yang berkaitan telah dikeluarkan.

Dengan mengingati hari tersebut, ia menunjukkan bahawa rakyat Palestin masih belum memperoleh hak-hak mereka yang tidak boleh dipisahkan seperti yang ditakrifkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu hak untuk menentukan nasib sendiri, kebebasan di tanah air dan penubuhan negara Palestin yang merdeka lagi berdaulat.

PBB memutuskan untuk memilih 29 November untuk memperingati hari tersebut sebagai tanggungjawab moral seluruh dunia mengembalikan keadilan bagi rakyat Palestin, yang mana setakat ini telah dinafikan penubuhan negara merdeka mereka dan kepulangan pelarian mereka selaras dengan resolusi antarabangsa.

Walaupun berdekad-dekad berlalu dan banyak resolusi antarabangsa yang berkaitan telah dikeluarkan, namun rakyat Palestin masih belum mendapat hak mereka lagi.

Memperjuangkan hak

“Sempena Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin, memperjuangkan hak sejarah dan politik Palestin di Baitulmaqdis dan di setiap bahagian tanah yang dijajah, dan hak untuk hidup dalam sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan hak mereka sebagai pelarian untuk pulang ke tanah airnya sendiri,” kata Perdana Menteri Palestin Muhammad Shtayyeh.

Beliau mengutuk serangan penjajah dan menuntut dunia mengekang keganasan serta memaksa pihak penjajah menghentikan serangan mereka terhadap negaranya.

“Kami juga mengutuk lawatan Presiden Israel, Isaac Herzog ke penempatan Hebron dan menyerbu Masjid Ibrahimi serta perkarangannya,” tegasnya dengan menyifatkan ia sebagai pencetus provokasi dan menzalimi perasaan rakyat Palestin serta pencabulan kesucia masjid secara terang-terangan.

Muhammad Shtayyeh menyeru agar PBB memberikan perlindungan kepada Kota Lama dan Masjid Ibrahimi di Hebron daripada serangan pengyahudian, terutamanya sejak Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menganggap Masjid Ibrahimi sebagai mercu tanda bersejarah Palestin, dan meletakkannya dalam senarai monumen dunia dalam bahaya.

Hamas akan cabar keputusan Britain

Sementara itu, Hamas melalui biro politiknya, Mousa Abu Marzouk mendedahkan bahawa ia akan memfailkan kes terhadap keputusan Setiausaha Dalam Negeri Britain yang mengklasifikasikan pertubuhan itu sebagai gerakan pengganas.

“Hamas akan mencabar keputusan Britain secara sah, dan akan memfailkan kes melalui peguamnya," kata Abu Marzouk dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasmi pergerakan itu.

Beliau menambah bahawa pergerakan itu bekerjasama dengan beberapa badan dan pertubuhan untuk menentang langkah itu, dan ia sedang berusaha dengan peguam Britain untuk merangka strateginya bagi membatalkan keputusan itu.

“Kami akan terus berusaha melayani suara Palestin, menyokong perjuangan Palestin, memulihkan projek nasional dan penentuan nasib sendiri berdasarkan kehendak negara dan bukan kehendak pendudukan Israel.”

Dalam konteks yang berkaitan, Abu Marzouk menyeru gerakan Fatah dan pihak Berkuasa Palestin untuk bersetuju atas dasar kepentingan rakyat Palestin, bersetuju atas dasar perkongsian dan terus berjuang.

“Hak rakyat Palestin tidak boleh diabaikan apalagi dicabuli. Rakyat Palestin masih berjuang dan akan tetap tidak akan mengiktiraf penjajahan, serta tidak akan menerima kewujudannya (Israel),” tegas Abu Marzouk.

Rakyat Palestin tidak pernah reda

Ketua Jabatan Politik Gerakan Jihad Islam, Muhammad al-Hindi mengesahkan bahawa terdapat percubaan terburu-buru untuk merampas Gaza.

Dalam pada itu, al-Hindi menunjukkan kepentingan untuk membina strategi, bersatu bagi menggagalkan semua rancangan jahat tersebut, sambil menekankan bahawa berpegang pada beberapa janji adalah isu yang telah terbukti sebagai kegagalan sebagaimana perjanjian Oslo.

Presiden Mahmoud Abbas dalam ucapannya di hadapan Perhimpunan Agung PBB pada 24 September lalu menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak akan menerima realiti pendudukan dan penjajahan haram tersebut.

“Kami akan meneruskan perjuangan untuk mencapai hak untuk menentukan nasib rakyat Palestin, termasuk pilihan untuk kembali kepada penyelesaian berdasarkan Pelan Pembahagian dalam Resolusi 181 tahun 1947, yang memberikan negara Palestin 44 peratus daripada tanah, iaitu dua kali ganda kawasan tanah berdasarkan sempadan 1967.”

Tarik perhatian masyarakat dunia

Perjuangan Palestin telah menderita dalam dekad yang panjang akibat perpecahan yang semakin ketara, terutamanya antara Fatah dan Hamas, di samping penyebaran dan perjuangan puak itu untuk kepentingan nasional Palestin, yang dieksploitasi serta diambil kesempatan oleh pihak Israel.

Seharusnya kedua-dua pihak perlu mengelak daripada mengambil langkah unilateral yang akan menjejaskan peluang penyelesaian damai terhadap konflik berdasarkan undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB yang disepakati.

Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin adalah peluang untuk menarik perhatian masyarakat dunia kepada fakta bahawa isu Palestin masih belum selesai sehingga hari ini.

Sebelumnya, Palestin telah menyertai PBB pada 29 November 2012 sebagai negara pemerhati bukan ahli, dan pada 30 September 2015, bendera Palestin telah dikibarkan di hadapan ibu pejabat PBB dan pejabat-pejabatnya di seluruh dunia.


Penulis merupakan Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia