Malaysia Dateline

Paling komited bersama PH, AMANAH bukan ‘walaun’ Mahathir, Anwar

AMANAH sekali lagi menepis segala dakwaan dan sindiran pihak tertentu berhubung pendirian parti itu terhadap kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulangi pendirian parti itu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, parti berusia lima tahun tersebut adalah paling komited dengan PH.

“Saya jelaskan pendirian AMANAH, kami paling komited dengan PH. Kita paling bersama dengan Anwar dari zaman reformasi sampai hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Pemuda AMANAH Nasional kali kelima di Pusat Konvensyen Bayou Lagoon di Bukit Katil, Melaka hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai itu juga menegaskan AMANAH bukan ‘walaun’ iaitu setia melulu kepada mana-mana sosok individu.

Sebaliknya apa yang dinyatakan, katanya, adalah pendirian AMANAH yang sudah dizahirkan sejak dahulu lagi.

“Kita bukan nak jadi walaun mana-mana. Saya bukan walaun Mat Sabu (Presiden parti), AMANAH bukan walaun Tun Mahathir dan Anwar.

“Kita mahu PH berdiri dan tumbangkan kerajaan tebuk atap yang menjadi perompak mandat rakyat,” tambah mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu lagi.