“Paling teruk saya makan katak kembung” – Bekas pramugari VVIP TUDM dedah pengalaman latihan dalam hutan

Oleh WAN SITI AMINAH

Tidak diberi makan atau minum sepanjang berada dalam hutan, itulah antara ujian yang pernah dilalui oleh seorang bekas pramugari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika menjalani latihan ketenteraan.

Pilihan yang ada untuk wanita berkenaan bersama rakan pelatihnya bagi menjamin kelangsungan hidup mereka ketika itu adalah dengan memakan sumber dalam hutan termasuklah haiwan.

Itulah antara pengalaman yang dikongsikan oleh seorang bekas pramugari TUDM dalam satu sesi audio siar atau ‘podcast’ Borak Dalam Galley bersama bekas pramugara dan selebriti iaitu Zarul Umbrella dan CK Faizal.

Menurut bekas pramugari yang dikenali sebagai Zamira itu, latihan ketenteraan berkenaan dijalankan di dalam hutan dalam tempoh satu bulan di tiga lokasi iaitu darat, paya dan laut.

Difahamkan, latihan itu adalah satu bentuk persediaan kepada pramugara dan pramugari TUDM selain menguji daya ketahanan mereka di dalam hutan sekiranya kapal terbang terhempas di lokasi itu.

“Sebulan memang saya hanya duduk dalam hutan. Tiada makanan atau minuman. Kami ditinggalkan di hutan di kawasan darat, paya dan laut. Pandai-pandailah kita hidup di situ.

“Kami akan diletakkan di darat dalam tempoh seminggu, kemudian seminggu lagi di paya dan minggu berikutnya di laut. Latihan itu berikan kita bayangan situasi sekiranya kemalangan berlaku di situ.

“Jadi macam mana kita nak bertahan hidup di kawasan itu. Kerana kita tak akan boleh pilih nanti kapal terbang akan terhempas dekat kawasan mana,” jelas pramugari terbabit dalam perkongsian itu.

@zarulumbrellaofficial

“Merasa Jugak Saya Makan Katak Kembung” Zamira bekas Pramugari VVIP TUDM @borakdalamgalley @CK Faizal @ZAMIRA RATU REMPAH

♬ original sound – Zarul Umbrella – Zarul Umbrella

Sedutan rakaman podcast yang disiarkan di platform Youtube itu turut dimuat naik di akaun TikTok milik Zarul yang juga merupakan penyanyi dan anggota kumpulan Umbrella.

Mengulas lanjut, Zamira dalam perkongsian itu mengakui bahawa antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjalani latihan itu adalah memakan haiwan termasuk katak.

“Waktu itu ada enam orang perempuan. Yang selebihnya lelaki dalam 15 orang. Contoh semasa di darat, kami akan diberikan makanan secara bercatu sedikit demi sedikit dalam tempoh tiga hari.

“Selepas tempoh itu, kami tidak lagi diberi makanan. Kena pandai-pandailah cari sendiri. Makan cacing ke, tebang pokok atau cari ulat ke. Pandai-pandailah cari makanan nak hidup.

“Paling teruk saya pernah makan adalah katak kembung. Tetapi sedap,” seloroh bekas pramugari berkenaan yang menceritakan pengalamannya menjamah pelbagai jenis makanan demi kelangsungan hidup di hutan.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih 1.7 juta penonton dengan rata-ratanya mengakui pernah mendengar cerita serupa daripada ahli keluarga mereka yang juga merupakan anggota tentera.

Ramai juga pengguna turut berkongsi pendapat mereka bahawa ‘hidangan’ seperti itu tetap akan dimakan oleh sesiapa yang berada dalam keadaan darurat meskipun kedengaran seperti menggelikan.

“Sebab kita tak pernah ada dalam keadaan darurat yang macam itu. Memanglah rasa geli. Tetapi percayalah. Kalau sudah kebulur dan kena makan untuk hidup, apa sahaja yang lalu pun kita akan sebat,” kata seorang pengguna.

“Betul itu. Suami saya juga sebulan dalam hutan pernah makan kera dan ular untuk bertahan hidup. Lelaki dan perempuan berebut makan. Selepas itu saya tak tanya dia makan dan buat apa dalam hutan. Tak sanggup dengar.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Apa yang dilakukan Ustaz Don sehingga rayuan tauliah mengajar ditolak? Ini jawapan MAIS