Bangunan baru Rumah Sakit Umum Anutapura di Palu sudah rosak tidak boleh digunakan lagi, akui Pengarahnya Dr Ruslan R. Ramli.
Menurutnya, semua pesakit terpaksa dipindahkan ke bangunan lama dengan susunan katil terpaksa dirapatkan.
“Daripada lima katil pesakit dalam satu-satu ruang, kita terpaksa rapatkan sehingga 10 katil,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini.

Malah, kira-kira jam 9 pagi tadi, ujarnya, gegaran susulan yang berlaku di kawasan itu menyebabkan mereka terpaksa mengosongkan hospital.
“Kami terpaksa menyelamatkan pesakit dengan membawa mereka ke kawasan lapang di luar hospital kerana bimbang runtuhan berlaku. Ada juga pesakit terus pulang ke rumah.
“Walaupun BMKG (Badan Meteorologi Klimatologi Dan Geofisika) mengesahkan bangunan hospital lama ini selamat pasca gempa lepas, tetapi gegaran demi gegaran susulan masih mengundang trauma kepada orang ramai termasuk kakitangan hospital ini,” jelasnya.

Baca: Kaum ibu bangkit hulur bantuan
Sementara itu, seorang doktor pelatih, Maharani yang ditemui di ruang lobi hospital berkata, ubat bagi mencegah penyakit kencing gigi sudah kehabisan.
“(Bekalan) Vaksin anti tetanus sudah kosong. Ubat itu habis kerana gempa menyebabkan ramai pesakit tertusuk besi,” katanya.
Kedua-dua pengamal perubatan berkenaan ditemui dalam Misi Bantuan Kemanusiaan anjuran Pemuda AMANAH Nasional dengan kerjasama Aksi Cepat Tanggap (ACT).
Turut menyertai misi tersebut dua pakar perubatan dari Pertubuhan Kebajikan Ibnu Sina (Perkis) Melaka dan Sukarelawan Belia Negeri Sembilan.
Sumbangan bagi mangsa gempa bumi di Palu boleh disalurkan kepada: