Palu: Kerenah birokrasi hampir sejam, mangsa masih berhimpit di khemah

Palu: Kerenah birokrasi hampir sejam, mangsa masih berhimpit di khemah

“Selamat Pagi Palu.Moga dukamu segera berlalu.”

Itu ungkapan terlintas di fikiran sejurus menjejakkan kaki di Bandara Mutiara Sis al- Jufri Palu hari ini.

Lapangan terbang di wilayah Sulawesi Tengah itu sudah jelas menyerlahkan impak dahsyat goncangan gempa bumi dengan magnitud 7.5 skala richter.

Selepas tiga minggu duka derita melanda masyarakat Palu, retakan di bahagian dinding tertentu manakala banyak struktur siling yang hilang akibat runtuh masih lagi dapat dilihat.

Muncul dugaan awal buat kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan Palu anjuran Pemuda AMANAH Nasional yang terdiri daripada 14 peserta termasuk pakar perubatan.

Empat kotak berisi bantuan makanan termasuk pakaian peserta terkandas di lapangan terbang di Jakarta. Serentak itu pula wujud kerenah birokrasi oleh kumpulan yang mendakwa mereka sebagai wakil Kementerian Dalam Negeri.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional Sany Hamzansedang berunding dengan pihak imigresen.

Dua insiden itu dilihat melewatkan pergerakan kumpulan kami. Mulanya, seorang lelaki berbaju batik mendekati kami yang sedang menantikan empat kotak itu.

Kami diarah ke kaunter sementara di luar lobi bandara. Sebaik tiba di kaunter sambil diperhatikan beberapa anggota berpakaian tentera, sekumpulan relawan Palang Merah Antarabangsa sedang ‘ditahan’ untuk mendapatkan maklumat. Turut sedang menantikan giliran ‘disoal siasat’ dua orang sukarelawan dari Jepun.

Tiba giliran kami, lelaki berpakaian biasa dengan di atas mejanya tertera penanda ‘Imigresen’ menangkap gambar setiap halaman butiran pasport kesemua 14 peserta rombongan.

Masa kami terus ‘dicuri’ selama 40 minit untuk mendengar ceritanya termasuk tentang wanita mungkin sekadar mahu bercanda.

Namun, mengejutkan apabila dia sebanyak dua kali mendakwa bahawa punca bencana di Palu adalah kerana “maksiat”.

Baca: Salahuddin lancar misi bantuan di Palu

Firdaus di lokasi runtuhan  masjid di Desa Lompio Kecamatan Sirenja, Kabupaten Donggala yang teruk terjejas.

Akhirnya, kedatangan aktivis Diki Taufiq Sidiq dan Firdaus Guritno dari NGO Aksi Cepat Tanggap (ACT) yang sebelum ini berurusan dengan Pemuda AMANAH menyelamatkan masa kami yang ketika itu perut sudah pun mulai berkeroncong.

Perjalanan kami menuju ke tempat penginapan menyaksikan warga Palu termasuk kumpulan beruniform perang cair sedang membersihkan kawasan di kiri kanan jalan raya.

Sebahagian premis niaga pula masih belum beroperasi dengan beberapa bangunan makanan segera dan restoran runtuh dan musnah sama sekali.

Firdaus, 28, memberitahu, beliau serta pasukannya sudah tiga minggu berada di Palu.

Menurutnya, isu logistik masih lagi kritikal dengan ramai mangsa berhimpit menghuni di khemah.

“Banyak khemah masih memuatkan sehingga 20 orang. Khemah begitu terbatas.

“ACT sendiri sudah membangunkan tempat pemindahan daripada papan yang lebih selesa kepada mangsa bencana,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini

Antara bangunan komersial yang musnah teruk tidak jauh dari Bandara di Palu.

Sumbangan bagi mangsa gempa bumi di Palu boleh disalurkan kepada: