Palu masih menderita, kata Serantau Muslim

Palu masih menderita, kata Serantau Muslim

Seramai lima orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) dan seorang Da’i dari Program Da’i Pendakwah Nusantara Musim kelima, Da’i Nur Afiqah Mahmud telah bersama-sama kerajaan Malaysia, dan dua NGO lain ke Palu bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Kota Palu.

Menurut salah seorang sukarelawan Serantau Muslim, Al-Iddin, tujuan mereka ke sana adalah bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa yang memerlukan disamping meninjau keadaan mangsa di Kota Palu.

Menurut Al-Iddin, pada pengamatan kasar, keadaan di Palu masih menderita kerana masih ramai penduduk memerlukan bekalan makanan asas untuk dijadikan alas perut mereka, ada yang masih menunggu lori yang membawa bekalan makanan dan air bersih untuk diminum.

Dalam misi tersebut, sukarelawan tersebut dibahagikan kepada dua pasukan, iaitu satu pasukan perubatan dan satu pasukan untuk bantuan mengagihkan bekalan asas kepada mangsa. Bantuan berupa keperluan asas seperti makanan dan minuman diagihkan kepada mangsa yang terlibat.

Kebanyakan mangsa yang berada di daerah tersebut ditempatkan di kem penempatan sementara seperti sekolah dan padang-padang yang tidak terjejas selepas rumah-rumah mereka telah ranap kesan daripada gempa bumi dan hentaman tsunami.

Tambah Al-Iddin lagi, “sepanjang mengikuti misi bantuan itu beliau merasakan banyak lagi masalah yang membelenggu penduduk di kawasan gempa bumi dan tsunami tersebut”.

“Mereka mungkin memerlukan sejenis alat yang dapat menapis air bersih berikutan mereka tiada bekalan air bersih di sana”, ujarnya.

Dalam pada itu, Serantau Muslim berharap misi bantuan yang disertai oleh wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mountain of Mercy (MOM), 40 Anggota Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dapat pulang dalam keadaan selamat ke tanah air.

Serantau Muslimjuga ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia yang berbesar hati untuk menghulurkan sumbangan, bolehlah melayari laman sesawang airmatasulawesi.com atau menghubungi 010-8659407 untuk mendapat keterangan lanjut.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote