Sekiranya 25,000 hektar hutan hujan di Ulu Muda ditebang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) akan kehilangan sekitar 15.3 peratus hutan hujan di kawasan tadahan air yang paling penting.
Ia juga akan menyebabkan kemusnahan hutan hujan di Ulu Muda pada skala yang bakal mengancam keselamatan bekalan air di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang terutamanya pada musim kering setiap tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa, pembalakan di Ulu Muda mesti dihentikan serta-merta kerana ia adalah usaha jangka pendek yang berbahaya dan tidak rasional.
Tegas beliau, hutan hujan di Ulu Muda sebenarnya membantu mewujudkan hujan dan melalui transpirasi pembebasan air dari berjuta-juta tumbuhan di Ulu Muda meningkatkan jumlah wap air di udara serta pembebasan ini menyokong pembentukan awan yang membawa hujan.
“Penebangan hutan hujan yang besar akan mengakibatkan hujan yang agak sedikit di Ulu Muda dan seterusnya kurangnya ketersediaan air mentah untuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
“Pembalakan akan menjejaskan statusnya sebagai kawasan tadahan air dan boleh membawa kepada pengeringan Sungai Muda dan Empangan Muda ketika musim kemarau yang teruk.
“Sehubungan itu, hutan hujan Ulu Muda harus dibiarkan tidak tersentuh, untuk menghasilkan dan menadah sebanyak mungkin hujan serta Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan terus bergantung kepada Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air pada masa yang akan datang, ” ujar beliau.
Sehubungan itu tambah Jaseni, penebangan hutan hujan Ulu Muda pada era perubahan iklim ini akan meningkatkan risiko krisis air dengan ketara di NCER dalam tempoh terdekat.
Kata beliau, kerajaan Pusat tidak boleh mengabaikan skop dan kepentingan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air, disamping sifat perubahan iklim yang tidak dapat diramalkan di NCER dan potensi kejatuhan sosio ekonomi kesan krisis air serantau.
Sejajar dengan itu tegasnya, usul Parlimen bagi melindungi dan memulihara hutan hujan Ulu Muda dan kawasan sekitarnya harus dilaksanakan dengan segera dan betul serta harus disedari 4.2 juta rakyat negara ini bergantung kepada Ulu Muda untuk bekalan air harian mereka, khususnya pada musim pandemik global Covid-19.