Pamerkan akhlak yang baik berbahas di Parlimen, kata AWAN Kelantan

Pamerkan akhlak yang baik berbahas di Parlimen, kata AWAN Kelantan

Kenyataan biadap berunsur lucah yang diutarakan oleh ahli-ahli Parlimen ketika bersidang sehingga berlaku kekecohan baru-baru ini adalah insiden yang amat memalukan lagi dikesali, demikian kata Timbalan Ketua Wanita AWAN Kubang Kerian, Dr Hajah Hafidzah Haji Mustakim (gambar atas).

Kata beliau, ini bukan kali pertama Datuk Bung Moktar Radin berkelakuan seperti itu. Sebelum ini, (kerajaan lalu) beliau pernah mengungkapkan perkataan seksis sekali gus menghina seorang ahli Parlimen wanita.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa perbahasan di Dewan Parlimen yang mulia adalah perbahasan di peringkat pembuat keputusan tertinggi bagi negara ini dan kini ia boleh ditonton secara live oleh semua golongan masyarakat melalui pelbagai saluran media.

“Ahli Parlimen adalah sebagai pemimpin seharusnya menunjukkan contoh yang terbaik kepada seluruh rakyat,” tegas Dr Hafidzah.

Beliau berkata, kalaupun tidak malu kepada Tuhan yang melihat sepanjang masa, malulah kepada rakyat yang tuan-tuan wakili.

“Bagaimana perasaan mereka melihat pemimpin yang mereka lantik berkelakuan buruk lagi memalukan?” soalnya yang merasakan memang tidak sewajarnya perkara itu berlaku di dalam Dewan Parlimen.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru kepada semua pemimpin khususnya ahli Dewan Parlimen agar menunjukkan contoh teladan yang baik.

“Pamerkaranlah akhlak yang baik dengan penghujahan dan perbahasan berkualiti serta menjauhi perkataan-perkataan buruk atau menghina orang lain.”

Beliau yang juga Penasihat Kelab Keluarga Islah sekali lagi menyeru, perbaikilah hati kalian kerana perkataan yang buruk menggambarkan hati yang di dalam.

“Mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar etika perbahasan bukan sahaja diberi amaran tetapi perlu mendapat tindakan tegas yang setimpal agar mereka mendapat pengajaran serta tidak berani mengulangi perbuatan buruk mereka,” tegas Hafidzah lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap Institusi Parlimen benar-benar menjadi Institusi yang mulia dalam merangka dasar-dasar yang terbaik untuk menjadikan Malaysia sebuah negara rahmah untuk semua.

Sebelumnya, Ahli Parlimen Barisan Nasional (Kinabatangan) Datuk Bung Mokhtar Radin berkata “F…Y…” kepada Willie Mongin Ahli Parlimen Pakatan Harapan (Puncak Borneo), selepas diganggu ketika berucap membahasakan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-Undang Cukai Perkhidmatan 2018 pada 6 Ogos, 2018 lalu.

CATEGORIES