Malaysia Dateline

Pan Borneo membuka  peluang perniagaan  makanan

Kewujudan laluan Lebuhraya Pan Borneo bakal membuka banyak peluang perniagaan khususnya kepada penguasa makanan di Sarawak.
Menurut Residen Bahagian Betong Friday Belik,dengan siapnya Pan Borneo nanti, ia bakal membuka peluang kepada usahawan terutamanya kepada penguasaha makanan.
Katanya, dengan sektor pelancongan bakal menjadi tumpuan di Bahagian Betong, adalah tidak mustahil ia akan membuka banyak peluang perniagaan kepada masyarakat dan penduduk di sekitarnya nanti.
“Justeru para usahawan terutamanya penguasaha makanan perlulah mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya.
“Ini kerana Betong turut akan memberi tumpuan dalam sektor pelancongan apabila siapnya Lebuhraya Pan Borneo kelak, ” kata beliau ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Pensijilan Pengendalian Makanan 2019 Bahagian Betong di Betong semalam.
Seramai 100 orang peserta terdiri daripada peniaga makanan kecil -kecilan di Bahagian Betong telah menyertai program berkenaan.
Program tersebut adalah anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan (MINTRED) Sarawak dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Betong.
Turut terlibat sama ialah University College of Technology Sarawak(UCTS) yang bertindak sebagai pengendali program.
Friday menambah, tujuan program ialah memberi peluang kepada penguasaha makanan kecil -kecilan mendapatkan Pensijilan Pengendalian Makanan yang diwajibkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Akta Pencegahan & Kawalan Penyakit Brjangkit 1988.
Selain itu, katanya ia juga adalah kriteria bagi penyertaan pelbagai program dan ekspo berkaitan penyediaan makanan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan.
“Di samping itu, para peserta turut diberi pengetahuan dan maklumat mengenai peluang dan bantuan keusahawanan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan berkaitan nanti,” jelas beliau lagi.