Panasonic rancang labur RM300 juta bagi Industri 4.0

Panasonic rancang labur RM300 juta bagi Industri 4.0

Panasonic Group di Malaysia merancang melabur RM300 juta dalam automasi dan meningkatkan kemahiran kakitangan dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menerima pakai Industri 4.0 dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Buat permulaan, Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd (PMMA), Panasonic Appliances Air Conditioning Malaysia Sdn Bhd, Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn Bhd dan Panasonic Industrial Devices Malaysia Sdn Bhd in Shah Alam akan terlibat dalam inisiatif itu.

“Kami memahami yang dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM210 juta bagi membangunkan Industri 4.0.

“Kami berharap mendapat sedikit sokongan daripada kerajaan,” kata Pengarah Urusan Panasonic Management Malaysia Sdn Bhd, Cheng Chee Chung kepada pemberita pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 Panasonic Manufacturing Malaysia.

Kumpulan itu juga meraikan penyiapan tiga kemudahan baharunya – bangunan pentadbiran baharu PMMA, kemudahan Penyelidikan dan pembangunan baharu Panasonic Appliances Research and Development ( R&D) Asia Pacific Sdn Bhd, dan hab logistik dan rumah gudang baharu Panasonic Appliances Air Conditioning Malaysia Sdn Bhd – yang dibina dengan kos RM50 juta.

Cheng, yang juga Pengarah Urusan Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic Malaysia) berkata 23 syarikat Panasonic di Malaysia mencatatkan RM16.3 bilion atau 1.32 peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara tahun lepas.

Panasonic Malaysia merupakan cabang jualan, perkhidmatan dan pemasaran kumpulan itu bagi jenama produk elektrik dan elektronik Panasonic di Malaysia.

Beliau berkata Panasonic Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran perolehan RM1.78 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2019.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah PMMA Siew Pui Ling berkata syarikat itu menjangka mencapai sasaran perolehan tahun kewangan 2018 sebanyak RM1.2 bilion daripada jualan domestik dan eksport.

PMMA mengeluarkan kipas elektrik, pancuran mandian rumah, pembersih vakum, periuk nasi, pengisar, pengisar buah-buahan, seterika elektrik, mesin pengering pinggan mangkuk dan bidet.

“Kira-kira 50 peratus daripada produk kami dieksport, terutamanya ke Asia Tengah dan negara-negara Asia.

“Bagaimanapun, pasaran eksport adalah mencabar dan tidak begitu memberangsangkan memandangkan perubahan dalam landskap politik Arab Saudi dan sekatan (antarabangsa) ke atas Iran,” katanya.

Bagaimanapun, Siew terus yakin dengan pasaran tempatan memandangkan prestasi kukuh terutamanya semasa tempoh tiada pengenaan cukai dari Jun hingga September.

“Jualan dijangka meningkat semasa perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina yang akan datang,” katanya.