Pandang serius gangguan seksual terhadap atlet, kata Wanita PKR Sarawak

Oleh NASUHA RAHMAN

Sebarang isu gangguan seksual terhadap terhadap wanita, kanak-kanak dan atlet negara harus dibanteras dengan segera.

Menurut Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Meneng Biris, kenyataan di twitter oleh Ratu Sukan Terjun Negara, Datuk Pandalela Rinong yang mendedahkan bahawa pernah menjadi mangsa lawak lucah yang dilakukan bekas jurulatih harus diberikan perhatian yang sangat serius.

Katanya, selaku aktivis beliau sangat memandang serius tentang sebarang gangguan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan mangsa di kawasan sendiri.

“Gangguan seksual seperti ini sekiranya tidak dibendung akan membawa kesan yang sangat negatif dan mendalam kepada para atlet wanita dan kanak-kanak termasuk tekanan mental dan emosi.

” Justeru, Menteri Sukan dan Belia harus menyediakan saluran yang jelas, telus dan terbuka bagi atlet membuat aduan tentang gangguan seksual supaya kes ini dapat disiasat dengan cepat dan tindakan untuk membela nasib atlet kita diambil dengan tegas,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Meneng, hal yang menimpa Datuk Pandelela Rinong bukan sahaja insiden yang pertama kali berlaku, tetapi perkara seperti ini juga pernah menimpa Perenang Negara Cindy Ong suatu ketika dulu.

“Mereka telah memberanikan diri untuk mendedahkan gangguan seksual ke atas dirinya secara terbuka. Saya memberikan sokongan moral sepenuhnya kepada dua wanita ini yang berani tampil ke depan untuk membuka mata kerajaan dan masyarakat kepada jegala ini.

” Malah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu harus memastikan hak dan keselamatan para atlet menjadi fokus utama serta diberikan sokongan moral untuk tampil ke depan dan bersuara apabila menghadapi gangguan seksual,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengesa agar kerajaan membentuk satu biro saluran pemberian maklumat (whistleblowing channel) yang komprehensif untuk menerima aduan dan juga biro (task force) bagi menyiasat dan mengambil tindakan.

Tujuan biro berkenaan, katanya adalah untuk membela serta melindungi hak wanita dan juga kanak-kanak supaya setiap mangsa berani tampil membuat aduan tentang apa yang berlaku terhadap mereka tanpa sebarang ancaman atau intimidasi daripada pihak berkuasa.

“Selain itu, ibu bapa juga mesti memainkan peranan yang sangat penting bagi mengelakkan perkara tersebut terjadi.

“Kita pernah digemparkan dengan kes pedophilia yang berlaku di Lundu, Sarawak dan seharusnya insiden seperti ini mesti dihalang daripada berulang kembali.

“Menghapuskan gangguan seksual terhadap wanita dan juga kanak-kanak bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan, tetapi ia boleh dibanteras jika kita mengubah sikap masyarakat daripada pihak pemimpin sehingga ke akar umbi supaya setiap ahli masyarakat disekeliling ada sifat ambil peduli, ” katanya yang juga merupakan Ketua Wanita PKR Cabang Mas Gading.