Malaysia Dateline

Pandang serius kartel import daging haram menjadi halal, kata DAP

Kerajaan harus memandang serius laporan bahawa Malaysia mengimport daging yang tidak halal ke negara ini dengan dilabelkan sebagai halal, kata peguam Syahredzan Johan.

“Pihak berkuasa termasuklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus segera menjalankan siasatan yang menyeluruh ke atas perkara yang didedahkan oleh laporan-laporan tersebut.

“Perkara ini, sekiranya benar, sekali lagi menunjukkan bahawa rasuah dan korupsi adalah barah dalam masyarakat.

“Ia bukan sahaja merugikan negara dari segi wang ringgit, tetapi boleh menghakis keyakinan umum terhadap integriti daging-daging halal yang dibawa masuk ke dalam negara, di samping menimbulkan keraguan terhadap keselamatan makanan di Malaysia,” kata Setiausaha Politik kepada veteran DAP Lim Kit Siang itu.

Kenyataan media itu dikeluarkan Syahredzan merujuk kepada laporan-laporan New Straits Times pada 21 dan 22 Disember 2020 berkenaan dengan sebuah ‘kartel’ yang mengimport daging ke Malaysia.

Menurut laporan-laporan tersebut, kartel itu bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi Kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.

Juga menurut laporan-laporan tersebut, antara daging-daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.

Laporan-laporan tersebut juga mendakwa bahawa pegawai-pegawai yang terlibat telah menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging-daging tersebut.

“Laporan-laporan ini telah menimbulkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan umat Islam di Malaysia. Status halal daging-daging yang berada di pasaran Malaysia mendapat kepercayaan yang tinggi di kalangan rakyat, khususnya yang beragama Islam,” kata Syahredzan.

Di samping itu, katanya, laporan-laporan tersebut juga menimbulkan persoalan mengenai keselamatan makanan (food safety) di Malaysia yang bukan sahaja melibatkan mereka yang beragama Islam, tetapi juga rakyat Malaysia secara amnya.

Dilaporkan bahawa daging-daging yang dibawa masuk adalah haiwan yang berpenyakit atau daging yang berkualiti rendah.

“Ia sudah tentu akan memberi kesan kepada keyakinan orang ramai terhadap status halal daging-daging tersebut dan juga dari aspek keselamatan makanan, termasuk cara daging-daging ini dikendalikan dan disimpan,” katanya.