Malaysia Dateline

Kementerian Pertahanan pandang serius tindakan hina tugas anggota tentera

Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius tindakan pihak-pihak tertentu yang bersifat menghina dan mempertikai tugas anggota tentera.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, sebagai reaksi terhadap penghinaan yang dilakukan, kepimpinan tertinggi Mindef dan ATM turut membuat penegasan melalui pelbagai medium komunikasi.

“Penegasan itu adalah dengan memberi amaran agar menghentikan tindakan tersebut disamping mengutuk tindakan mereka.

“Penegasan rasmi ini telah dinyatakan oleh pihak kementerian melalui ucapan saya pada Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 pada 16 Ogos lalu. Ianya turut mendapat sokongan dan sambutan baik daripada pelbagai pihak.

“Dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat, kami sentiasa mewar-warkan serta menonjolkan peranan, tugas dan kesiagaan anggota ATM dalam menjalankan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.

“Kesedaran itu ditunjukkan menerusi paparan situasi sebenar tugas anggota di kawasan operasi atau perbatasan dan menonjolkan kisah perjuangan serta pengorbanan tokoh-tokoh pejuang dan pahlawan negara melalui media cetak, elektronik, media sosial dan media atas talian,” jelasnya.

Mohamad yang juga Presiden AMANAH berkata demikian dalam Dewan Rakyat, hari ini ketika menjawab soalan daripada Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit).

Nizar meminta Menteri Pertahanan (PH-Kota Raja) menerangkan mengenai tindakan yang telah diambil oleh kementerian terhadap individu yang didapati menghina dan mempertikaikan tugas anggota tentera.

Selain itu, Nizar turut bertanya apakah usaha yang dijalankan oleh pihak Kementerian Pertahanan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai jasa dan pengorbanan anggota tentera di negara ini.

Pada 12 Ogos lalu, ahli perniagaan, Koon Yew Yin melalui satu tulisan dalam blognya bertajuk `Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita’ antara lain menyifatkan anggota tentera di negara hanya makan dan tidur.

Malah, melalui tulisan memuatkan enam cadangan itu, Yew Yin, 87, mendakwa anggota tentera terbabit tidak pernah menembak dan menegaskan anggota tentera sepatutnya menggantikan pekerja asing di ladang Felda.

Ekoran itu, kenyataannya mengundang kritikan pelbagai pihak. Bagaimanapun, dia kemudiannya meminta maaf kepada anggota ATM di atas kenyataan itu.

Yew Yin menyifatkan mungkin caranya ketika mengemukakan cadangan mengenai pengurangan kakitangan awam terutama anggota tentera tidak disukai oleh sesetengah pihak.

“Saya sudah menulis surat meminta maaf kepada anggota tentera di atas kesilapan saya. Saya kesal kerana menggunakan perkataan yang menghina ketika meminta anggota tentera yang merupakan bahagian terbesar dalam perkhidmatan awam supaya membantu FELDA.

“Tiada niat saya untuk menghina sesiapa. Saya meminta maaf di atas kesilapan saya. Saya benar-benar menghargai pengorbanan dan sumbangan anggota tentera kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 18 Ogos lalu.