Malaysia Dateline

Pandangan 18 pemimpin politik akan dibawa ke perbincangan khas Raja-Raja Melayu esok

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara, bermula pada 9 Jun hingga petang hari ini.

Selain sesi menghadap bersama para pemimpin parti politik, Al Sultan turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat Tun Arifin Zakaria, di Istana Negara, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, susulan sesi menghadap itu, pandangan-pandangan yang telah dikemukakan ketua-ketua parti politik akan diwasilkan di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok, yang akan bermula pada jam 2.30 petang.

“Sesi menghadap para pemimpin parti politik sejak minggu lalu adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan usaha memerangi jangkitan wabak Covid-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

“Dalam sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik, Seri Paduka Baginda telah berkenan mendengar pandangan-pandangan dari mereka tentang pelbagai isu.

“Beberapa pakar dari agensi-agensi kerajaan dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.