Pandangan Menteri Agama berkenaan LGBT salah dari sudut Islam, dakwa Pas

Pandangan Menteri Agama berkenaan LGBT salah dari sudut Islam, dakwa Pas

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa, mengenai perlakuan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) adalah salah dari sudut pandang Islam dan peruntukan undang-undang negara.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pandangan beliau itu dilihat sebagai mengiktiraf perlakuan LGBT sebagai hak seseorang selama ia dilakukan dalam ruang peribadi masing-masing.

Katanya, beliau berpendirian demikian kerana menganggap kesalahan tersebut semata-mata urusan antara individu terbabit dengan Tuhan sahaja; tidak ada kena mengena dengan orang lain.

“Kefahaman ini ternyata sangat silap kerana LGBT melibatkan pencerobohan terhadap hak masyarakat dan sifat tabii kemanusiaan.

“Perlakuan liwat sebagai contoh merupakan satu jenayah dalam Islam dan juga jenayah dalam undang-undang negara sama ada dibuat secara sembunyi apatah lagi terang-terangan.

“Meskipun negara kita tidak menjadikan hukuman tersebut sebagai undang-undang, tapi ia menunjukkan betapa besarnya jenayah liwat,”katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, undang-undang negara juga ada memperuntukkan beberapa kesalahan jenayah
berkaitan perlakuan LGBT, antaranya ialah Seksyen 377B dan 377C Kanun Keseksaan yang menyatakan berkenaan kesalahan hubungan seks luar tabii.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas, berkata, ini menunjukkan undang-undang negara sama ada sivil atau syariah memperakui bahawa perlakuan LGBT ini adalah merupakan jenayah dan pelakunya boleh dikenakan tindakan tanpa mengira sama ada ia dilakukan secara tersembunyi atau terangan-terangan.

“Saya khuatir, pendirian longgar oleh seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam dalam isu ini akan membuka ruang selesa dan meyakinkan kepada golongan LGBT untuk terus mendesak agar perlakuan dan golongan LGBT diiktiraf di negara ini.

“Lebih saya bimbang, jika sikap menteri seperti itu akhirnya menjadikan Malaysia menerima syor supaya mengiktiraf orientasi seksual LGBT sebagai hak-hak asasi manusia sejagat ; meminda seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat kerana menganggap ia tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman; dan memansuhkan enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah berkaitan yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi” seperti yang dituntut oleh Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO),”ujarnya.

Justeru, beliau mengharapkan agar pemimpin Pakatan Harapan tidak memberi mesej kepada rakyat Malaysia bahawa mereka tidak boleh diharapkan untuk menjaga agama malah bersikap liberal melampau dalam isu-isu agama dan undang-undang yang bertujuan memelihara keharmonian awam.

“Mandat kepada Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan oleh rakyat adalah untuk merobohkan kezaliman dan penindasan bukannya merobohkan agama Islam dan undang-undang,”katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan berkata menangani isu LGBT tidak memadai sekadar dialog dan boleh diteruskan dan diurus oleh badan-badan Islam milik kerajaan mahupun bukan kerajaan sebagai satu usaha dakwah.

Katanya, bagi pihak kerajaan yang berkuasa dan memerintah, manafaatkan kuasa yang telah diberikan dengan menguatkuasakan pencegahan kemungkaran di Malaysia sebagaimana yang diperintah oleh Allah swt, lantaran LGBT bukan kemungkaran baru dan bukan juga baru berlaku di negara kita.

“Saya yakin salah satu ruangnya ialah seperti apa yang telah dirintis oleh PAS selama ini iaitu memperkasakan institusi mahkamah Syariah dan enakmen jenayah Syariah melalui pindaan akta RUU 355,”kata beliau dalam kenyataannya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada wawancara Malaysiakini dengan Menteri Agama yang disiarkan pada 6 Julai bertajuk, “LGBT Haram: tapi antara dia dan Allah, kata menteri”.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS