Pandangan pembangkang tidak selari sejarah kecemerlangan Islam, kata Hanipa

Pandangan pembangkang tidak selari sejarah kecemerlangan Islam, kata Hanipa

Mohamed Hanipa Maidin

Mohamed Hanipa Maidin

Mohamed Hanipa Maidin menyelar pandangan pemimpin pembangkang susulan pelantikan ‘boss’ nya Datuk Liew Vui Keong sebagai Menteri (undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, pelantikan Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum dan Peguam Negara Thommy Thomas dikalangan bukan Islam.

Selaku Timbalan Menteri (Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa berkata, hujah pembangkang lebih diwarnai emosi serta budaya sloganistik dari nilai intelektualisme yang tinggi.

“Ada sebuah parti tertentu yang mendakwa usaha memartabat Islam semakin samar di era PH (Pakatan Harapan), dengan alasan antaranya pelantikan menteri undang-undang di JPM , Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara yang kesemuanya bukan Islam.

“Bagi saya, sikap sebegitu amat tidak selari dengan sejarah kecemerlangan Islam yang ditonjolkan oleh para alim ulamanya di sepanjang zaman.

“Yang jelas tidak jelas dari kenyataan mereka bagaimana mereka mendefinisi martabat Islam yang dikatakan semakin samar itu di era PH,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang itu berkata, beliau berani untuk menegaskan kehadiran Datuk Liew Vui Keong atau lebih dikenali sebagai VK Liew, jauh berbeza daripada pandangan yang dilontarkan oleh parti pembangkang.

“Ketua saya iaitu YB Menteri, dari hari pertama lagi, secara jelas meminta segala isu yang berkaitan agama Islam dan syariah misalnya ditangani oleh saya.

“Lihatlah betapa beliau amat berhati hati dan berjaga-jaga dengan sensiviti agama.

“Saya sendiri telah mengambil inisiatif untuk sedia berjumpa dan berbincang dengan, antara lain, ‘stakeholders’ yang terlibat secara langsung dengan isu pentadbiran agama Islam dan syariah di negara ini,” ujarnya.

Bagi pelantikan Tommy Thomas pula, Hanipa berkata, dikalangan yang gusar dan bimbang hanya perlu membaca Perlembagaan Persekutuan yang jelas menggariskan sempadan seorang peguam negara dalam isu berkaitan syariah.

Begitu juga dengan peranan, kuasa dan jurisdiksi Ketua Hakim Negara.

“Memetik keputusan/penghakiman menentang (dissenting judgement ) Ketua Hakim Negara dalam kes tertentu dan terus dengan laju menyimpulkan kononnya Islam digugat adalah, maaf, satu sikap dan adab yang paling tidak bertanggungjawab.

“Sikap sebegitu, bagi saya, hakikatnya yang meremehkan martabat dan kecermelangan Islam,” ujarnya.

Beliau dipercayai memberi respon kepada kenyataan dibuat oleh Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan, semalam, menyifatkan pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa semalam sebagai melengkapi keresahan masyarakat Islam di negara ini.

Antara lain Nasaruddin dipetik berkata, paling meresahkan apabila melihat kepada rekod penghakiman ketua hakim negara yang baharu. Agak jelas kelihatan corak penghakiman yang tidak menyebelahi Islam dalam beberapa kes penting.

Bagaimanapun, beliau menganggap kerajaan PH boleh “memekakkan” telinga daripada mendengar keluhan dan teguran umat Islam serta tergamak “membutakan” mata daripada melihat reaksi bimbang umat Islam terhadap perkembangan tersebut.

“Reaksi bimbang dan teguran umat Islam telah jelas kedengaran sejak dari pelantikan peguam negara tempoh hari lagi.

“Kini pelantikan ketua hakim negara pula bakal mengundang petaka buat umat Islam. Langkah kerajaan Pakatan Harapan juga dilihat tergesa-gesa dan tergopoh-gapah. Entah apa yang dikejar,” bidas Nasaruddin.

Pada Selasa Tan Sri Richard Malanjum dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, sebelum itu pada 2 Julai Datuk Liew Vui Keong dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang) dan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

 

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS