Malaysia Dateline

Pandangan untuk Sanusi

Nak tutup semua premis judi di Kedah bagus. Cuma tak perlu sebut, “Pi Penang” sebab di Perak juga berlambak premis judi. Selama Kedah sempadan Selama Perak.

Mengubah suatu mungkar perlu dipastikan tidak wujud suatu mungkar baru yang lebih besar. Ubahlah dengan fiqh, bukan dengan “pehhh…”.

Melaksanakan tuntutan agama ada seninya. Antara seninya ialah maqasid syari’ah. Tutup premis judi tanpa seni menjejaskan kehidupan yang harmoni.

Elok fokus kepada mendidik rakyat membenci judi. Premis judi pasti “tertutup sendiri” dengan kesedaran tentang mudaratnya melalui pendidikan.

Aktiviti judi menimbulkan permusuhan. Menutup premisnya akan menimbulkan perdamaian. Jika tutup premis menimbulkan permusuhan, tentu cara tutupnya tak betul.

Islam agama yang indah. Jika sesuatu perkara dibuat atas nama Islam, natijahnya pasti indah. Jika natijahnya buruk, itu bukan daripada Islam tapi daripada “aktiviti selam-selam”.

Mendidik bukan sekadar memberitahu orang ramai judi haram dalam khutbah atau kuliah. Tapi menyediakan alternatif kepada judi iaitu peluang pendapatan yang lebih lumayan.

Terlibat dengan judi didorong oleh pelbagai faktor. Antara faktornya ialah ketagih. Orang ketagih boleh buat perkara di luar dugaan. Jangan sampai hal ini berlaku. Hati-hati.

Pihak yang untung paling besar dalam industri judi adalah taukeh judi. Jangan lupa, taukeh judi bukan macam taukeh kedai runcit. Dehem taukeh judi dengungnya seantero alam.

Urusan politik terikat dengan maslahah. Pertimbangkan maslahah dan mafsadah kepada umum dengan masak. Jangan terhitam wajah agama kerana kegelojohan orang politiknya.