Panel pemilih tidak bincang dengan SDAR

Panel pemilih tidak bincang dengan SDAR

Dua penuntut universiti awam yang berperanan sebagai ketua juri dan panel pemilih usul debat Piala Tun Razak berkemungkinan berhadapan tindakan tegas Kementerian Pendidikan berikutan isu pemilihan topik debat yang menyentuh sensitiviti agama.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan di sini berkata, hasil siasatan mendapati Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal daripada Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Seremban berkaitan usul tajuk debat.

 Antara tajuk yang diusulkan oleh ketua juri dan panel pemilih adalah para pendebat diminta menghujahkan tentang menulis semula al-Quran dan homoseksual bukanlah satu dosa dalam Islam.

“KPM hari ini memberikan maklumbalas berkaitan isu tajuk debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) yang telah tular di media sosial sejak semalam dan turut mendapat liputan sebuah akhbar tempatan.

“Hasil siasatan mendapati Ketua Juri iaitu Mohammad Aidil bin Ali dan Iyad Zakiy Amal, selaku panel pemilih usul tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal daripada pihak SDAR berkaitan dengan usul tajuk debat

“KPM melalui Jabatan Pendidikan Tinggi juga sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan terhadap kedua pelajar berkenaan yang merupakan pelajar dari salah sebuah instituti pendidikan tinggi awam,” kata kenyataan itu seperti dipetik MG hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, kenyataan itu memberitahu, pihak SDAR telah memaklumkan kepada ketua juri tentang prosedur pemilihan tajuk debat iaitu tidak boleh menyentuh sebarang sensitiviti agama, kaum, kebudayaan dan isu yang boleh menggugat keselamatan negara.

Katanya, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan secara sengaja atau sebaliknya dalam menganjurkan program-program yang boleh mengganggu keamanan antara kaum dan agama.

Semalam salah seorang ibu bapa berkongsi tangkap layar WhatsApp mendedahkan seorang pelajar beragama Islam terpaksa menyokong tajuk ‘menulis semula al-Quran’ sambil mempersoalkan logik di sebalik tajuk debat berkenaan.

Malah seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) dari Kajang juga didakwa telah dipaksa menyokong tajuk kontroversi sebelum pasukan itu menarik diri daripada pertandingan tersebut.

Isu tersebut juga dikatakan telah dirujuk kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menerusi pegawai khas dan setiausaha politik menteri berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, juri bagi pertandingan tersebut melalui satu kenyataan memohon maaf kepada pihak terlibat manakala jawatankuasa penganjur Piala Tun Razak 2019 berjanji mengambil isu berkenaan sebagai pengajaran bagi memastikan pada pertandingan akan datang ia tidak berulang