Panel Tatatertib UM dapati Anis Syafiqah bersalah

Oleh BORHAN AHMAD

 

Pemimpin pelajar dari Universiti Malaya, Anis Syafiqah telah didapati bersalah oleh Panel Tatatertib universiti dan akan dijatuhkan hukumannya dalam masa 14 hari.

Menurut Anis dalam tulisan di facebooknya, setelah selesai sambungan prosiding selama 2 jam, pihak Panel Tatatertib Universiti Malaya telah memutuskan bahawa beliau bersalah atas kesemua pertuduhan (berkenaan penyertaan dalam himpunan aman).

Syafiqah dan rakan-rakan berkempen untuk Himpunan Tangkap MO1.Tiga pertuduhan yang dikenakan kepada Anis Syafiqah adalah:

1) ..didapati telah mengadakan, menganjurkan dan memanggil suatu perhimpunan Tangkap Malaysian Official 1.

2) ..didapati telah merosakkan dan memudaratkan kepentingan, kesejahteraan serta nama baik Universiti, apabila telah menyertai satu perhimpuan Tangkap Malaysian Official 1 tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa dan telah disiasat (baca : membantu siasatan) pihak Polis Diraja Malaysia.

3) ..didapati telah merosakkan dan memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam, moral, kesopanan serta tatatertib apabila telah menyertai satu perhimpunan Tangkap MO1.

Anis Syafiqah dan rakan-rakannya berjaya menghimpun ribuan pelajar di Dataran Merdeka Kuala Lumpur dalam Himpunan Tangkap MO1 pada 27 Ogos lalu.