Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu selepas calonnya, Pang Sock Tao menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, semalam.
Memperoleh majoriti 3,869 undi, Pang yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tampil merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi kerana telah memilihnya.
Pang turut memberi jaminan akan berpindah ke Kuala Kubu Baharu secepat mungkin dan berikrar untuk menjadi wakil rakyat untuk semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, lapor Malaysia Kini.
Bercakap dalam satu sidang media di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Kubu Baharu, Pang berjanji akan berusaha keras menyelesaikan isu-isu mendesak di kawasan itu dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kepada semua.
“Perkara pertama yang saya akan lakukan adalah mendengar aduan pengundi Kuala Kubu Bharu dan mencari masalah terdesak dialami penduduk tempatan. Saya akan bekerjasama bergerak sebagai pasukan menyelesaikan masalah itu untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
“Saya akan menjadi wakil rakyat kepada semua penduduk di KKB tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang. Sepanjang kempen saya berada di sini dan saya akan pindah ke sini secepat mungkin,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.
Terdahulu, Pang berjaya meraih 14,000 undi sekali gus mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu di dalam persaingan empat penjuru menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang memperoleh 10,131 undi.
Dua calon lain yang turut kehilangan wang deposit ialah Hafizah Zainuddin mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan memperoleh 152 undi manakala calon Bebas, Nyau Ke Xin pula mendapat 188 undi.
PRK Kuala Kubu Baharu yang berlangsung pada Sabtu itu diadakan susulan kematian penyandangnya yang turut mewakili parti PH iaitu Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Sehubungan itu, Pang merakamkan ucapan penghargaan kepada mendiang Lee Kee Hiong yang sebelum ini telah berdedikasi untuk menjaga kebajikan penduduk Kuala Kubu Baharu.
Pang dalam sidang media yang sama turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera daripada Pakatan Harapan termasuklah Barisan Nasional.
Baca juga: Tular nota waris dakwa orang masjid caj RM1,000 untuk solat jenazah