Malaysia Dateline

Panggil sidang khas Parlimen atau dahulukan usul undi tak percaya dalam Dewan, saran Adun PH

Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Datuk Sofi Wahab menyarankan agar Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen lebih awal bagi menentukan sekiranya beliau masih mempunyai majoriti sokongan di dalam Dewan.

Adun Durian Tunggal itu berkata, ini demi memudahkan perjalanan sesi sidang Dewan Rakyat November ini agar usul membentangkan Belanjawan 2021 tidak dibantah ahli-ahli Parlimen.

“Sekiranya sokongan majoriti tidak diselesaikan dari awal dan usul membentangkan bajet ditolak, ia hanya merugikan masa dan tenaga. Sudah lah bersidang cukup lama dan apabila membahaskan bajet, akhirnya ditolak kerana tiada sokongan.

“Jika bajet ditolak, dengan sendirinya kerajaan Muhyiddin jatuh. Tidak pernah dalam sejarah negara kita, usul pembentangan bajet ditolak ahli Parlimen,” katanya dalam satu muatnaik Video di YouTube semalam.

Pada masa sama beliau berkata, sidang khas lebih awal itu kelak membolehkan ahli Parlimen membahas usul undi tidak percaya untuk membuktikan kedudukan Presiden Bersatu itu.

Bagaimanapun menurut Sofi, Muhyiddin masih mempunyai formula lain selain memanggil sidang khas lebih awal, iaitu dengan mendahulukan usul undi tidak percaya di dalam sidang Dewan Rakyat.

“Jika Muhyiddin tidak mahu memanggil sidang khas sekali pun, pada sidang Parlimen nanti, beliau boleh meminta Speaker mendahulukan usul undi tidak percaya terhadap dirinya sebagai agenda pertama dalam mesyuarat sidang Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut berpendapat, ketidaktentuan politik dapat diredakan sekiranya Muhyiddin ikhlas dalam menentukan siapa sebenarnya mempunya majoriti dan legitimasi sebagai Perdana Menteri.