‘Panggil Stephen Paddock pengganas’

‘Panggil Stephen Paddock pengganas’

Rata-rata pengguna media sosial di Twitter mempertikai kecenderungan media antarabangsa yang dilihat enggan mengaitkan insiden serangan bersenjata di Las Vegas kelmarin sebagai aktiviti pengganas.

Mereka termasuklah rakyat Amerika Syarikat (AS) sendiri menyelar dan menyindir media negara mereka yang hanya memanggil Stephen Paddock, 64, dalam laporan masing-masing sebagai penembak atau lelaki bersenjata.

Sebahagian netizen juga secara sinis berpendapat tragedi ketika berlangsungnya konsert itu tidak dianggap sebagai aksi teroris hanya kerana dilakukan individu kulit putih yang bukan beragama Islam.

Terdahulu, pihak berkuasa AS dilapor yakin suspek yang merupakan lelaki tempatan bertindak secara bersendirian dan tiada kaitan dengan unsur keganasan.

Laporan media antarabangsa tentang penganas Stephen Paddock.

Akhbar The Washington Post semalam pula melaporkan ‘Las Vegas gunman Stephen Paddock enjoyed gambling, country music, lived quiet life before massacre’ (Lelaki bersenjata Las Vegas Stephen Paddock suka berjudi, muzik country, hidup tenang sebelum pembunuhan beramai-ramai)

Netizen atas nama Phil Kgopolo Mphela‏ menyifatkan tindakan Paddock yang mengorbankan banyak nyawa merupakan serangan pengganas.

“Lelaki ini, Stephen Paddock telah membunuh 50 orang dan 200 cedera di Las Vegas. Media masih tidak memanggilnya sebagai serangan teroris!” tegasnya di Twitter.

Sementara itu, Ed Krassenstein‏ mendesak supaya sikap membenci dan menyalahkan masyarakat Islam dihentikan kerana jenayah keganasan adalah masalah manusia.

“Doa buat Las Vegas. Kita mesti marah… marah pada kebencian dan menuntut #GunControlNOW. Kita mesti berhenti menyalahkan umat Islam dan #stopthehate.

“Ini adalah masalah Amerika, masalah manusia!” ujarnya hari ini.

Bagi pengguna Twitter, Palmer Report‏ pula tajuk laporan berita The Washington Post yang menggunakan panggilan ‘lelaki bersenjata’ itu tidak akan ditemui jika pelakunya bukan kulit putih.

“Anda hanya dapat melihat berita utama seperti ini apabila pengganas berkulit putih. Hentikan permainan kata.

“Penembak Las Vegas Stephen Paddock adalah seorang pengganas jahat yang kejam! Takziah untuk mangsa dan keluarga,” katanya.

Media Amerika dikritik rakyatnya yang dilihat tidak mahu kaitkan tragedi di Las Vegas dengan penganas

Sementara itu, Boediman Soemali dalam reaksinya di Twitter juga secara sinis menyebut panggilan teroris hanya akan digunakan jika Paddock penganut Islam.

“Saya Stephen Paddock. Saya telah bunuh paling kurang 58 orang dalam pesta muzik country, Las Vegas. Jika saya Muslim, mereka telah panggil saya teroris,” tulisnya hari ini.

Insiden di Las Vegas kelmarin dianggap pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah AS ketika kira-kira 22,000 orang hadir menyaksikan festival muzik.

Ribuan penonton dilapor panik dan lari bertempiaran sehingga berlanggar sesama sendiri ketika menyelamatkan diri apabila tembakan dilepaskan bertubi-tubi dari tingkat 32 Hotel Mandalay Bay.

Pihak berkuasa memberitahu penyerang sudah mati dibunuh di lokasi tersebut dan hasil siasatan awal mereka mendapati Paddock tiada rekod jenayah.

Walau bagaimanapun, polis setakat ini masih belum mendedahkan sebarang maklumat berhubung motif sebenar serangan individu dari Mesquite, Nevada itu.

CATEGORIES